BERITA SEMASA

Melaka cadang gaji asas RM2,500, mahu jadi negeri pertama laksanakannya

MELAKA – Kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menjadikan Melaka negeri pertama menetapkan gaji asas RM2,500 sebagai antara usaha meningkatkan taraf hidup serta masa depan golongan muda.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan itu akan dikaji dan dinilai dari pelbagai sudut terlebih dahulu sebelum dikemukakan kepada Kerajaan Pusat untuk pertimbangan.

Menurutnya, langkah berkenaan dilihat penting bagi memastikan golongan muda mempunyai hala tuju serta peluang lebih baik untuk membina kehidupan dan kerjaya di Melaka.

“Kita akan cuba melihat daripada segala sudut dan penilaian ini akan dibuat. Kita akan memberikan cadangan ini kepada Kerajaan Pusat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Townhall Anak Muda sempena Karnival Anak Muda di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Ab Rauf berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada golongan wanita khususnya ibu muda yang berdepan pelbagai cabaran kehidupan, termasuk masalah rumah tangga sehingga menjejaskan peluang mereka meneruskan kerjaya.

Katanya, kerajaan negeri sedang meneliti pendekatan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan berkenaan supaya mereka dapat kembali membina kehidupan dan masa depan lebih baik.

“Kita tidak sepatutnya mempunyai generation gap (jurang generasi) dan gender problem (masalah gender) di Melaka.

“Semua diberikan ruang yang sama berdasarkan kemahiran dan keupayaan yang ada pada diri mereka sendiri,” katanya memetik laporan Utusan Online.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut meneliti pendekatan seperti yang dilaksanakan di Tanjung Pelepas yang memberi peluang pekerjaan kepada ibu muda yang berdepan kehilangan arah masa depan.

Menurutnya, antara lokasi yang sedang dipertimbangkan bagi menyediakan peluang pekerjaan itu ialah Melaka Inland Port (MIP).

Ab Rauf berkata, usaha berkenaan penting bagi memastikan ibu muda yang terpaksa meninggalkan pekerjaan atas faktor tertentu tidak terus tercicir daripada arus pembangunan dan pasaran pekerjaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button