BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

200,000 hadir sambut Tahun Baharu 2026 bersama Tentera Darat Malaysia di Melaka

MELAKA – Lebih 200,000 pengunjung hadir sempena sambutan Tahun Baharu 2026 bersama Tentera Darat Malaysia (TDM) khususnya Rejimen Gerak Khas dalam satu program berskala besar dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka, di sini baru-baru ini.

Program yang bertemakan Jubli Intan Gerak Khas: Warisan Keberanian, Legasi Kegagahan itu mencerminkan sokongan padu masyarakat setempat dan pelancong terhadap peranan Tentera Darat dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Tentera Darat
Orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar dengan sebuah helikopter milik TDM.

Sambutan tersebut turut diserikan dengan kehadiran kepimpinan tertinggi negeri termasuk Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Asmah Ab Rahman dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Kedua-dua pemimpin itu menzahirkan komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan strategik antara angkatan tentera dan masyarakat awam.

Antara tarikan utama program ialah demonstrasi kepakaran tempur oleh 21 Gerup Gerak Khas yang mempamerkan kecekapan dan kesiapsiagaan pasukan elit TDM melalui pelbagai aktiviti berintensiti tinggi.

Selain elemen ketenteraan, sambutan itu turut menampilkan pelbagai acara awam termasuk cabaran sukan, aktiviti interaktif serta Hari Keluarga Gabungan yang memberi peluang kepada masyarakat merasai pengalaman ala komando secara selamat dan terkawal.

“Inisiatif ini memberi peluang masyarakat merasai pengalaman ala komando secara selamat, memperkukuh keterlibatan awam dan menegaskan hubungan strategik antara Tentera Darat dan rakyat,” menurut hantaran di Facebook Kementerian Pertahanan.

Program berkenaan turut menjadi platform untuk menonjolkan profesionalisme, disiplin dan pengorbanan warga Tentera Darat Malaysia selari dengan usaha berterusan meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan dan tanggungjawab angkatan pertahanan negara.

Tentera Darat
Aksi seorang kanak-kanak mengangkat senjata berat sambil diperhatikan seorang anggota tentera lengkap beruniform.

Kerjasama erat bersama Kerajaan Negeri Melaka memastikan sambutan itu merangkumi elemen pelancongan, kemasyarakatan dan pendidikan awam secara holistik sekali gus memperkukuh peranan TDM dalam mempertahankan kedaulatan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button