JENAYAH & MAHKAMAH

Polis sahkan wanita dakwa suami ditembak sebenarnya kekasih penjenayah

MELAKA — Polis Melaka mengesahkan wanita yang mendakwa suaminya ditembak polis dalam kejadian tembak-menembak di Durian Tunggal baru-baru ini sebenarnya merupakan kekasih kepada salah seorang penjenayah yang ditembak mati.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, wanita berusia 31 tahun itu bukan isteri sah suspek terbabit, sebaliknya suspek berkenaan mempunyai isteri yang menetap di Johor.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati suspek tinggal bersama wanita terbabit di Durian Tunggal sejak kira-kira tiga tahun lalu.

“Wanita itu tidak bekerja dan siasatan mendapati dia mempunyai 10 rekod jenayah lampau sejak 2012, termasuk kes curi kenderaan, samun dan cubaan bunuh.

“Dia juga pernah ditahan di Jasin pada Julai lalu berkaitan kes samun,” memetik laporan BH online.

Dzulkhairi berkata bapa kepada wanita berkenaan yang berusia 55 tahun turut mempunyai 24 rekod jenayah lampau sejak 2022 dan beberapa kes telah dijatuhi hukuman.

“Bapa wanita itu kini masih dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes curi kenderaan dan curi dalam bangunan,” katanya lagi.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan wanita berkenaan bahawa suaminya ditembak mati polis, selain dakwaan dua beranak itu mempunyai rekod jenayah lampau.

Pada 3 Disember lalu, media melaporkan ahli keluarga tiga penjenayah yang ditembak mati menafikan dakwaan bahawa suspek bertindak ganas dengan menyerang polis, sekali gus mencetuskan persoalan terhadap tindakan pihak berkuasa.

Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga suspek yang tidak berpuas hati terhadap tindakan polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang ke arah anggota polis dalam operasi di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

Akibat serangan berkenaan, seorang anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an cedera parah di lengan kiri.

Siasatan mendapati ketiga-tiga suspek disyaki terbabit dalam 20 kes jenayah di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM1.35 juta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button