BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kenyataan Ketua Polis Kelantan isu seksual bawah umur hanya pandangan peribadi – Saifuddin

PUTRAJAYA – Kenyataan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berhubung kes seksual bawah umur dengan kerelaan atau suka sama suka sekadar pendapat peribadi beliau, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, kenyataan itu tidak boleh dianggap sebagai pandangan menyeluruh kerana ia hanya dibuat berdasarkan situasi di negeri berkenaan.

Tegas Saifuddin, perkara itu belum pun dibahas di Parlimen, dipinda atau dibawa ke mana-mana peringkat, maka tiada keperluan untuk mengapi-apikan isu berkenaan.

“Itu pendapat dia. Kekal sebagai pendapat dia dulu. Belum sampai untuk saya bagi komen apa-apa. Datuk Mohd Yusoff bagi pandangan berasaskan kepada angka-angka yang berlaku di Kelantan.

“Bahawa bila perbuatan itu berlaku, ada konsensual. Itu pandangan beliau. Beliau bagi pandangan,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan di Ibu Pejabat JPN di sini, hari ini.

Baca juga : BUDI95 JPN sedia lanjut waktu operasi jika berlaku lonjakan permohonan MyKad

Polis Kelantan sebelum ini mencadangkan undang-undang sedia ada diteliti semula khususnya dalam kes hubungan seksual bawah umur dengan kerelaan atau suka sama suka supaya tindakan tidak hanya ke atas pelaku sahaja, sebaliknya turut dikenakan terhadap pasangan mereka.

Mohd Yusoff dilaporkan berkata statistik menunjukkan hampir 90 peratus kes rogol bawah umur di Kelantan berlaku atas dasar suka sama suka, bukannya paksaan.

Sehubungan itu beliau menyarankan undang-undang sedia ada perlu diperhalusi semula supaya masyarakat lebih memahami kesan sesuatu kesalahan, sekali gus membantu membendung peningkatan kes pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Saifuddin turut menyelar sikap segelintir kumpulan hak asasi yang hanya memilih isu tertentu untuk disuarakan sedangkan pada masa sama mendiamkan diri apabila polis berdepan kecederaan ketika bertugas.

“Polis kena baling batu dan awak senyap. Seolah-olah hak asasi ini hanya untuk orang tertentu. Nak jadi pejuang hak asasi kena jadi untuk semua,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button