Aktiviti songsang: 31 warga asing direman, 171 tempatan dibebaskan – Polis
KUALA LUMPUR – Seramai 171 warga tempatan yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti hubungan songsang di sebuah pusat kesihatan di Jalan Raja Laut dilepaskan pagi tadi, manakala hanya 31 warga asing direman.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan melibatkan 201 lelaki yang dijalankan pada Jumaat lalu itu cukup membimbangkan kerana membabitkan isu moral serta jenayah sosial.
“Daripada 202 individu yang ditahan, 171 adalah rakyat Malaysia iaitu 103 Melayu dan 31 warga asing. Setelah siasatan dijalankan di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 377 dan 372, tiada bukti kukuh untuk meneruskan pendakwaan terhadap warga tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Kampung Sungai Baru di ibu negara hari ini.
Baca juga : JAKIM tegas larang homoseksual
Terdahulu, seramai 201 lelaki yang juga pengunjung sebuah pusat kesihatan di Jalan Raja Laut, di sini, ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti hubungan songsang pada Jumaat lalu.
Operasi dijalankan oleh Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Mengulas lanjut, Fadil menjelaskan, bagi warga tempatan, permohonan reman ditolak kerana proses permohonan lambat akibat bilangan tangkapan yang ramai dan keperluan untuk mengklasifikasi setiap individu.
Selain itu, beliau turut menekankan cabaran yang dihadapi pihak polis dalam menangani aktiviti tidak bermoral ini, kerana tiada mangsa yang tampil untuk mengaku sebagai korban, sekali gus menyukarkan tindakan undang-undang diambil terhadap penganjur.
Beliau menambah, usaha pengawasan dari sudut agama dan syariah di Kuala Lumpur dan Selangor masih terhad, dengan pendekatan kepada panggilan untuk menghadiri program ceramah dan rehabilitasi.
“Jika tiada perubahan atau pindaan undang-undang dibuat, situasi seperti ini berisiko berulang dan lebih serius pada masa hadapan. Tindakan telah diambil, namun keberhasilan masih terhad,” tegas beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








