JENAYAH & MAHKAMAH

Juruteknik wanita rugi RM58,500 ditipu urusan sijil BPOM

KUALA TERENGGANU – Seorang juruteknik wanita kerugian RM58,500 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan ketika berusaha mendapatkan sijil Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Indonesia bagi tujuan mengeksport produk ke negara itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa membuat laporan polis pada Khamis selepas menyedari dirinya ditipu.

Menurut beliau, kejadian bermula pada 23 Mac 2024 apabila mangsa melihat iklan program ‘Jom Eksport Ke Indonesia’ di Facebook sebelum menyertai kumpulan WhatsApp melalui pautan yang diberikan.

“Mangsa kemudian berurusan dengan seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Noor Feirouz.

“Pada 7 Mei 2024, mangsa menyertai taklimat secara dalam talian menerusi Zoom sebelum membuat keputusan menyertai program Trip Titian Muhibbah yang berlangsung pada 15 hingga 17 Mei 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azli berkata, mangsa kemudiannya melakukan 10 transaksi ke satu akaun bank sebagai bayaran reruai pameran dan urusan mendapatkan sijil BPOM bagi produk yang ingin dipasarkan di Indonesia.

Menurutnya, jumlah keseluruhan bayaran yang dibuat adalah RM58,500.

“Mangsa mula berasa curiga apabila sijil BPOM yang dijanjikan tidak diperoleh walaupun bayaran telah dijelaskan sepenuhnya.

“Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” katanya lagi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

BPOM merupakan agensi kawal selia makanan dan ubat-ubatan Indonesia yang berfungsi hampir sama seperti Agensi Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA) di Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button