Tekong tempatan ditahan, 33 PATI Indonesia gagal lolos
PELABUHAN KLANG – Hasrat 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk pulang ke negara asal melalui jalan laut tidak kesampaian apabila cubaan mereka digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 11.10 malam itu, sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang dinaiki kumpulan berkenaan berjaya dipintas hasil risikan serta maklumat awam menerusi Op Ehsan, Op Tiris dan Op Patkor Optima Malindo 32/25.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot tersebut pada awalnya enggan berhenti walaupun telah diarahkan, sehingga dikejar selama hampir 10 minit sebelum berjaya ditahan sekitar 5.5 batu nautika barat Tanjung Karang.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 21 lelaki berusia 22 hingga 50 tahun termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun serta 12 wanita berusia antara 25 hingga 63 tahun termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun berada di dalam bot tersebut.

“Kesemua mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, manakala tekong warga tempatan berusia 27 tahun turut ditahan bersama bot fiber berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Abdul Muhaimin, sindiket dipercayai mengenakan caj antara RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap PATI, bergantung kepada jarak perjalanan.
Kesemua tahanan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana cubaan keluar melalui laluan tidak diwartakan, manakala tekong terbabit disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Beliau menegaskan, Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan operasi penguatkuasaan di perairan negeri itu bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta menggesa orang ramai menyalurkan maklumat sebarang aktiviti mencurigakan melalui talian 013-6606652 atau 999 yang beroperasi 24 jam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








