JENAYAH & MAHKAMAH

Pertikaian pelaburan RM1.3 juta di Indonesia, Aisar Khaled berdepan tindakan saman

JAKARTA – Satu laporan polis dibuat terhadap pempengaruh Malaysia, Aisar Khaled oleh sebuah syarikat di Indonesia berkaitan pelaburan berjumlah kira-kira 5.7 bilion rupiah (RM1.3 juta).

Memetik Tribunnews.com, laporan pertikaian itu dibuat kepada polis daerah Metropolitan Jakarta Raya (Polda Metro Jaya) semalam.

Peguam yang mewakili syarikat terbabit, Machi Achmad berkata, laporan dibuat selepas Aisar gagal memberikan maklum balas terhadap tiga notis tuntutan yang dikemukakan anak guamnya.

“Kami hadir hari ini bagi mewakili pelanggan untuk membuat laporan terhadap seorang pempengaruh mengikut Seksyen 492, 486 dan 607 Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peguam, Michael Sugijanto berkata, pertikaian berkenaan berpunca daripada perjanjian pelaburan yang dimeterai antara Aisar dan syarikat terbabit.

Beliau mendakwa, berdasarkan perjanjian berkenaan, masih terdapat baki pealburan yang belum diselesaikan Aisar berjumlah kira-kira 5.7 bilion rupiah (RM1.3 juta).

Michael turut mendakwa Aisar mempunyai beberapa tanggungjawab lain di bawah perjanjian itu, termasuk menghadiri acara tertentu secara bersemuka namun mendakwa kewajipan tersebut masih belum dilaksanakan sepenuhnya.

Menurutnya, pihak syarikat sebelum ini cuba menyelesaikan pertikaian itu secara baik dengan menghubungi Aisar secara langsung dan menghantar beberapa notis tuntutan, namun didakwa tidak menerima sebarang maklum balas.

Laporan polis berkenaan kini dijangka disiasat pihak berkuasa Indonesia bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam pertikaian pelaburan tersebut.

Setakat ini, Aisar belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan berkenaan.

Aisar merupakan antara pempengaruh Malaysia yang terkenal di Indonesia dengan jumlah pengikut yang tertinggi di media sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button