BERITA SEMASA

Malaysia serah 5,207 hektar tanah kepada Indonesia tidak tepat – NRES

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyangkal dakwaan bahawa Malaysia memberikan seluas 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di Kalimantan Utara adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pemuktamadan pengukuran sempadan darat membabitkan kawasan berkenaan dibuat menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia pada 18 Februari 2025, selepas melalui proses perundingan teknikal yang komprehensif dan telus selama lebih 45 tahun.

“Setiap pelarasan sempadan dilakukan berlandaskan undang-undang antarabangsa serta koordinat geospatial yang tepat, bukan atas dasar konsesi politik, pampasan atau prinsip timbal balik.

“Rundingan bagi penandaan dan pengukuran kawasan masalah sempadan tertunggak (OBP) dilaksanakan secara harmoni antara kedua-dua negara dan tidak melibatkan konsep untung rugi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arthur berkata, hasrat Malaysia dan Indonesia untuk menyegerakan penyelesaian isu sempadan darat bagi sektor Sabah–Kalimantan Utara dipersetujui semasa lawatan negara mantan Presiden Indonesia, Joko Widodo, ke Malaysia pada 8 Jun 2023.

Beliau turut berkata, proses rundingan itu melibatkan penyertaan aktif wakil Kerajaan Negeri Sabah sebagai sebahagian daripada delegasi Malaysia.

“Satu pengukuran saintifik telah dijalankan berdasarkan perjanjian terdahulu bagi menentukan jajaran sempadan yang jelas dan muktamad.

“Keputusan ini dicapai melalui proses teknikal yang panjang membabitkan kepakaran Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta agensi keselamatan,” katanya lagi.

Arthur turut berkata, penetapan sempadan yang diiktiraf sepenuhnya oleh negara jiran dan masyarakat antarabangsa adalah lebih strategik demi kepentingan jangka panjang kedaulatan negara berbanding mengekalkan kawasan pertikaian yang tidak mempunyai keabsahan undang-undang.

“Pengiktirafan ini memperkukuhkan kedudukan perundangan Malaysia di peringkat antarabangsa serta menutup ruang kepada sebarang tuntutan wilayah yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya lagi.

Tambah beliau, Malaysia dan Indonesia kekal mengamalkan pendekatan diplomasi melalui rundingan berterusan berlandaskan semangat muhibah dan setiakawan bagi memastikan keharmonian serta mengelakkan konflik di kawasan sempadan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button