
King’s Cup: Main sampai lewat malam, 9 pasukan termasuk Malaysia enggan teruskan perlawanan
HATYAI – Kejohanan Sepak Takraw King’s Cup 2025 terus menjadi perhatian apabila Persatuan Sepak Takraw Thailand selaku penganjur disaran memperbaiki pengurusan jadual perlawanan selepas beberapa perlawanan terpaksa diteruskan hingga lewat malam.
Penggiat sukan sepak takraw Malaysia, Mohsen Amdan, dalam satu video di Facebook meluahkan rasa tidak puas hati terhadap situasi yang dianggap tidak sesuai untuk atlet bertanding pada tahap tertinggi.

“Sekarang dah pukul 10.50 malam waktu Malaysia. Malaysia baru saja menang satu perlawanan, tapi masih ada tiga lagi perlawanan yang kita kena main Quadran wanita, Quadran lelaki dan Malaysia lawan Korea,” katanya semalam.
Mohsen turut memaklumkan bahawa beberapa pasukan seperti Nepal, India, Vietnam, Pakistan, Jepun, Bangladesh, Myanmar, Laos dan Korea enggan meneruskan perlawanan malam tadi disebabkan faktor kelewatan yang tidak munasabah.

“Pagi ini baru nak sambung balik, bermakna jadual akan terus terheret. Saya tak faham bagaimana Persatuan Sepak Takraw Thailand boleh rancang kejohanan dunia macam ni.
“Main sampai tengah malam? Ini langsung tak jaga kebajikan atlet,” katanya lagi.
Beliau menegaskan walaupun Malaysia berjaya mencatat kemenangan, namun pengurusan jadual tetap perlu diberi perhatian kerana boleh menjejaskan prestasi dan keselamatan pemain.
Video yang dimuat naik Mohsen menerima reaksi meluas daripada penyokong yang turut berharap agar penganjur lebih peka terhadap kepentingan masa dan rehat atlet.
Setakat ini, Persatuan Sepak Takraw Thailand belum mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan isu tersebut. Kejohanan dijadual bersambung pagi ini dengan beberapa perlawanan yang tertangguh akan diteruskan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















