BERITA SEMASA

Tidak semua hutang perlu dibayar dengan aib – PHM

KUALA LUMPUR – Public Health Malaysia (PHM) mengingatkan bahawa tidak semua hutang atau tunggakan perlu dibayar dengan penghinaan dan pendedahan maruah individu yang berkenaan kepada umum.

Kenyataan itu dibuat susulan isu tular sebuah premis makanan di luar negara yang memaparkan wajah pelanggan kerana didakwa gagal membuat bayaran, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai cara sesuatu institusi mengendalikan isu hutang dan tunggakan.

Walhal, individu yang didakwa kemudian tampil dengan bukti resit pembayaran bagi menangkis dakwaan tersebut.

“Dalam dunia yang semakin cepat viralkan orang, marilah kita belajar satu perkara bahawa tidak semua hutang perlu dibayar dengan aib,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut PHM, hospital dan klinik di Malaysia juga pernah berdepan situasi pesakit keluar wad tanpa melunaskan bayaran termasuk melibatkan warga tempatan dan warga asing.

“Ada juga ibu yang keluar wad bersama bayi yang baru dilahirkan tanpa menjelaskan bil rawatan.

“Namun Malaysia tidak pernah menjadikan wajah mereka sebagai bahan tular untuk dihukum ramai,” menurut kenyataan itu.

BACA JUGA:

Tanpa uniform dia tetap jururawat – PHM

Utamakan keselamatan diri sebelum bantu mangsa kemalangan – PHM

Mulut orang dewasa turut diuji ketika keputusan SPM – PHM

PHM berkata, pendekatan tersebut bukan bermaksud institusi kesihatan tidak mengalami kerugian atau sistem sedia ada sempurna, sebaliknya kerana terdapat perbezaan antara menuntut hak dengan menjatuhkan maruah manusia.

Menurutnya, hospital mempunyai prosedur tersendiri termasuk rekod bayaran, tindakan susulan serta saluran pentadbiran dan undang-undang untuk menguruskan tunggakan.

“Tetapi wajah orang sakit, orang susah atau individu yang mungkin sedang panik, miskin, keliru atau terdesak tidak dijadikan poster untuk dihukum netizen,” katanya.

PHM turut mengingatkan bahawa sesiapa sahaja boleh berada dalam keadaan sukar termasuk ahli keluarga sendiri yang mungkin berdepan masalah kewangan atau kecemasan kesihatan pada masa depan.

“Menuntut bayaran itu hak, tetapi memalukan manusia sehingga hilang maruah bukan tanda kekuatan.

“Kadang-kadang ia hanya menunjukkan kita terlalu cepat menghukum sebelum memahami,” menurut kenyataan itu lagi.

PHM turut menyeru masyarakat supaya lebih berempati dan berhemah dalam menangani isu melibatkan tunggakan bayaran tanpa mengaibkan individu lain di media sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button