Sidang Kemuncak BRICS: Tinggalkan retorik bertindak segera tangani krisis iklim, kesihatan – PM
BRAZIL – Dunia tidak boleh lagi berterusan berhujah tanpa tindakan dalam menghadapi krisis iklim, kesihatan global dan pembiayaan mampan, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam sesi intervensi terakhirnya di Sidang Kemuncak BRICS 2025, Anwar menyeru agar Persidangan COP30 yang bakal berlangsung di Belém menjadi titik perubahan sebenar daripada retorik kepada pelaksanaan.
“Keadilan iklim bukan hanya tentang niat, tetapi tentang bagaimana kita mengagih modal, mengurus risiko dan memikul tanggungjawab secara kolektif.
Masa untuk berhujah telah berakhir. Kini adalah masa untuk bertindak bersama, dengan berani dan dalam skala yang mampu menyelamatkan masa depan bersama,” kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan.
Malaysia, katanya, terus konsisten membawa suara negara membangun dengan menegaskan bahawa isu kesihatan global, keadilan iklim dan pembiayaan mampan bukanlah perkara yang terpisah, sebaliknya saling berkait dan menuntut pendekatan bersepadu serta berteraskan keadilan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia turut menyambut baik pelancaran BRICS Partnership for the Elimination of Socially Determined Diseases, yang mencerminkan pengiktirafan punca penyakit tidak boleh ditangani tanpa menyelesaikan isu ketidaksaksamaan sosial dan kemiskinan di peringkat akar umbi.
Selain itu, Anwar turut menekankan keperluan kepada akses saksama terhadap vaksin, sistem kesihatan awam yang berdaya tahan dan kawal selia rantaian bekalan ubat global, yang disifatkannya sebagai isu keselamatan antarabangsa.
“Kegagalan dalam perkara ini bukan sahaja menggugat sistem kesihatan, tetapi mampu mencetuskan ketidaktentuan serantau dan mengancam pembangunan mampan sejagat,” katanya.
Baca juga : Anwar sampai dua kenyataan penting di Sidang Kemuncak BRICS
Dalam hal perubahan iklim, Perdana Menteri menegaskan komitmen Malaysia terhadap peralihan karbon rendah melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETP) serta sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Walau bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa dasar tanpa sumber kewangan tidak akan membuahkan hasil.
Justeru, pembiayaan iklim menurutnya perlu diperkukuh dengan instrumen yang lebih berkesan dan penyelarasan antara institusi kewangan serantau serta global.
Malaysia menyokong penuh Kerangka Pembiayaan Iklim BRICS dan dalam masa sama memacu agenda serantau sebagai Pengerusi ASEAN, dengan menekankan kepentingan memperluas akses kepada pembiayaan hijau, menyeragamkan piawaian dan menjadikan Asia Tenggara sebagai hab pelaburan mampan.
Di sela-sela sidang, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin utama dunia termasuk Presiden Indonesia, Presiden Chile, Premier China, Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan, Menteri Luar Rusia, Menteri Luar UAE dan Menteri Luar Iran.
Pertemuan tersebut memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan negara-negara terbabit, terutama dalam kerjasama strategik berkaitan pembangunan mampan, ekonomi dan perubahan iklim.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








