BERITA SEMASA

Tiada halangan kerajaan dedah kandungan CSA kepada rakyat – Ismail Sabri

MELAKA – Tiada halangan sekiranya kerajaan mengambil keputusan mendedahkan kandungan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) kepada umum bagi membolehkan rakyat mengetahui butiran perjanjian berkenaan, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, CSA bukan pendekatan baharu dalam politik negara, sebaliknya pernah diperkenalkan ketika beliau menerajui pentadbiran kerajaan sebelum ini.

“CSA bukan perkara baharu. Saya yang mulakan CSA dulu dan kalau kerajaan hari ini nak dedahkan, boleh sajalah rakyat tengok apa yang terkandung di dalam perjanjian tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program kempen Barisan Nasional (BN) di Durian Tunggal, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Bera itu berpandangan kerjasama antara parti politik perlu diteruskan walaupun masing-masing mempunyai perbezaan pendirian, terutama selepas berakhirnya sesuatu pilihan raya.

Menurutnya, persaingan politik sepanjang tempoh pilihan raya tidak sepatutnya berlarutan sehingga mencetuskan permusuhan yang boleh menjejaskan hubungan dan kerjasama antara parti.

“Kalau boleh semua kena kerjasama sebenarnya. Kalau waktu pilihan raya bolehlah kita bertentang-bertentang, tapi luar daripada pilihan raya ini tak ada sebab kita nak teruskan permusuhan itu.

“Jangan parti itu memecah-belahkan kita,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan bersedia mendedahkan kandungan CSA yang dimeterai bersama pembangkang susulan desakan PAS supaya butiran perjanjian berkenaan diumumkan kepada umum.

Anwar berkata, kerajaan tidak mempunyai halangan untuk berbuat demikian kerana prinsip perjanjian itu sama seperti yang pernah dimeterai antara kerajaan dengan pembangkang sebelum ini

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button