CSA perkukuh kestabilan politik, lancarkan pelaksanaan Belanjawan 2027 – Anwar
KUALA LUMPUR – Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang dimeterai antara Kerajaan MADANI, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang menjadi landasan untuk memperkukuh kestabilan politik serta memastikan agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persefahaman itu turut memberi ruang kepada kerajaan untuk memastikan kelangsungan pentadbiran, termasuk pelaksanaan Belanjawan 2027 demi kepentingan rakyat.
“CSA yang ditandatangani Kerajaan MADANI dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia serta beberapa Ahli Parlimen pembangkang hari ini bukan sahaja menjadi landasan untuk memperkukuh kestabilan politik.
“Malah memastikan kelangsungan urusan pemerintahan serta memberi ruang kepada agenda pembangunan negara, termasuk Belanjawan 2027, dilaksanakan dengan berkesan demi kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial, hari ini.
Menurutnya, perbezaan pandangan dalam sistem demokrasi tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha membina masa depan negara yang lebih baik.
“Kematangan politik menuntut semua pihak mengetepikan kepentingan politik sempit dengan meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan.
“Pendekatan ini juga penting bagi memastikan Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan stabil, selain mengekalkan momentum kemajuan serta memelihara kesejahteraan rakyat,” tambahnya.
Dalam pada itu, Anwar berharap persefahaman berkenaan dapat menjadi asas kepada kerjasama yang konstruktif antara pihak terlibat, meskipun mempunyai perbezaan pendirian politik.
Beliau juga berharap agar kerjasama sedemikian juga diharap dapat memperkukuh keyakinan terhadap proses demokrasi serta membuka ruang kepada usaha membina Malaysia yang lebih baik untuk semua.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







