Kestabilan politik melalui CSA mesti beri manfaat kepada rakyat – Fuziah Salleh
KUALA LUMPUR – Kestabilan politik yang dibentuk menerusi Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) perlu dimanfaatkan untuk memastikan agenda reformasi dan pembangunan negara dapat dilaksanakan, sekali gus membawa kesejahteraan kepada rakyat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, sebarang bentuk kerjasama politik tidak seharusnya hanya menguntungkan pihak yang terlibat, sebaliknya perlu memberikan kesan positif kepada kehidupan rakyat.
“Namun, pemenang paling besar mestilah rakyat, kerana akhirnya setiap persefahaman politik perlu diterjemahkan kepada manfaat dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial, hari ini.
Fuziah yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, CSA bukan pendekatan baharu dalam politik negara kerana Pakatan Harapan (PH) pernah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2021.
Menurutnya, persefahaman ketika itu bertujuan memastikan kestabilan politik dan kelancaran pentadbiran negara demi kepentingan rakyat.
Beliau menyifatkan kerjasama politik seperti itu sebagai situasi menang-menang kerana pihak yang menandatangani perjanjian memperoleh manfaat, manakala kerajaan mempunyai ruang lebih baik untuk melaksanakan tanggungjawabnya.
“Saya melihat kerjasama seperti ini sebagai situasi menang-menang (win-win situation). Pihak yang menandatangani perjanjian mendapat manfaat, manakala kerajaan memperoleh kestabilan untuk melaksanakan agenda reformasi serta pembangunan negara,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan kestabilan yang terhasil daripada CSA perlu menjadi landasan untuk memperkukuh pentadbiran dan memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara berterusan.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa matlamat utama persefahaman politik perlu kekal berteraskan kepentingan awam, bukannya sekadar memenuhi kepentingan parti atau pihak tertentu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








