POLITIK

CSA Kerajaan MADANI dengan pembangkang petanda politik matang – Fadhlina

KUALA LUMPUR – Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan MADANI dengan Ahli Parlimen daripada BERSATU, MUDA dan Bebas disifatkan sebagai perkembangan positif ke arah politik negara yang lebih matang.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, perbezaan pendirian dalam demokrasi tidak seharusnya menghalang usaha mencari titik persamaan bagi menjayakan reformasi institusi dan agenda pembangunan negara.

Beliau berkata, politik negara perlu terus bergerak maju dengan keberanian melaksanakan reformasi, namun pada masa sama kekal berpegang pada prinsip dan semangat perjuangan.

“Bagi Wanita PKR, kematangan politik bukan bererti mengabaikan perbezaan atau mengorbankan prinsip.

“Kita boleh berbeza pandangan, namun tetap mencari kesepakatan dalam perkara yang membawa kebaikan kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Fadhlina berharap persefahaman berkenaan dapat membuka ruang lebih luas kepada kerajaan dan semua pihak untuk memberikan tumpuan terhadap usaha pembangunan negara.

“Banyak yang telah kita rencanakan melalui Belanjawan 2027. Tanggungjawab kita adalah memastikan segala ikhtiar tersebut benar-benar sampai dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, seramai tujuh Ahli Parlimen, enam daripada BERSATU termasuk Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan, hari ini.

CSA itu ditandatangani oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.

Enam Ahli Parlimen BERSATU yang terlibat dalam MoU berkenaan ialah Muhyiddin (Pagoh), Datuk Dr Radzi Jidin (Putrajaya), Datuk Ali Biju (Saratok), Datuk Suhaimi Abdullah (Langkawi), Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button