BERITA SEMASA

Fadhlina arah Unit Integriti KPM ambil tindakan susulan kes Nur Qaira Alisha

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengarahkan Unit Integriti mengambil tindakan selanjutnya berhubung kes kematian Allahyarhamah Nur Qaira Alisha Ahmad Ilwan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, arahan itu dibuat selepas Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah menjalankan siasatan berhubung aduan yang dikemukakan oleh keluarga Allahyarhamah.

“Saya mengikuti dengan penuh rasa dukacita pemergian Allahyarhamah anakanda Nur Qaira Alisha.

“Saya juga telah mengarahkan Unit Integriti untuk mengambil tindakan selanjutnya selaras dengan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa serta berlandaskan prinsip keadilan kepada semua pihak,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Fadhlina, KPM memandang serius setiap perkara yang melibatkan keselamatan dan kebajikan murid.

Katanya, keutamaan kementerian ketika ini adalah memastikan keluarga Allahyarhamah diberikan ruang serta sokongan sewajarnya dalam menghadapi kehilangan berkenaan.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada ibu bapa serta seluruh keluarga atas kehilangan yang amat berat ini,” katanya.

Keutamaan KPM pada masa ini adalah untuk memastikan keluarga diberikan ruang serta sokongan yang sewajarnya dalam menghadapi kehilangan ini.

“Semoga keluarga Allahyarhamah anakanda Nur Qaira Alisha diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi saat yang amat sukar ini,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial perkongsian bapa mangsa, mendakwa anaknya yang mengalami masalah jantung itu diarahkan seorang guru untuk menyertai aktiviti larian pada pemilihan rumah sukan walaupun surat pengesahan mengenai penyakit Nur Qaira telah diberikan.

Susulan insiden itu, Nur Qaira didakwa hanya mampu terlantar dan terpaksa memakai oksigen sepenuhnya sebelum mangsa dilaporkan meninggal dunia pada Isnin lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button