Saifuddin Abdullah gesa siasatan kematian Zara Qairina dijalankan secara telus dan adil
KUALA LUMPUR – Ketua Portfolio Pendidikan PN merangkap Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, menggesa agar siasatan terhadap kematian remaja Zara Qairina Mahathir, 13, dijalankan secara telus dan adil.
Saifuddin menegaskan perkara itu selepas menghubungi peguam yang mewakili keluarga mangsa hari ini, susulan persoalan yang dibangkitkan di Dewan Rakyat pada Rabu lalu mengenai insiden di SMKA Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, Sabah.
“Persoalan sama ada bedah siasat telah dilakukan terhadap jenazah Zara Qairina masih belum jelas. Jika belum, saya menegaskan bahawa prosedur tersebut perlu segera dilaksanakan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap naratif yang mengaitkan kematian itu dengan isu kesihatan mental atau masalah keluarga yang boleh membawa kepada kesimpulan bahawa kejadian itu adalah kes bunuh diri.
Saifuddin menegaskan naratif sebegitu boleh menjejaskan peluang keluarga mangsa untuk mendapatkan keadilan.
Dalam laporan berita hari ini, ibu mangsa, Noraidah Lamat, 45, turut menegaskan hasrat yang mahu penggalian semula kubur anak tunggalnya dilakukan bagi tujuan bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian serta menghentikan spekulasi yang berlarutan sejak dua minggu lalu.
Polis Sabah memaklumkan siasatan kini berada di peringkat akhir dengan kira-kira 60 saksi sudah diambil keterangan termasuk pelajar, guru, dan kakitangan sekolah.
Kes itu turut melibatkan tiga individu yang disebut dalam siasatan, dikenali sebagai Kak Wana, Kak Dedeng dan Tomboi.
Kes tragis itu turut mengundang simpati masyarakat, selain menimbulkan persoalan besar mengenai keselamatan pelajar di asrama, budaya buli di sekolah berasrama penuh serta keperluan prosedur pengurusan insiden yang lebih ketat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







