BERITA SEMASA

Reformasi sekolah mesti tingkat kualiti pendidikan, bukan sekadar naik taraf fizikal – Fadhlina

KUALA LUMPUR – Peruntukan yang disalurkan menerusi Program Reformasi Sekolah perlu dimanfaatkan bagi memperkukuh kualiti pengajaran, meningkatkan kesejahteraan warga sekolah serta memperkasa kesihatan mental dan bukan hanya tertumpu kepada kerja-kerja mencantikkan bangunan sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kejayaan reformasi sekolah tidak seharusnya diukur melalui pembinaan mural atau penambahbaikan fizikal semata-mata, sebaliknya berdasarkan perubahan budaya kerja, ekosistem pembelajaran dan mentaliti seluruh warga sekolah.

Beliau berkata demikian ketika sesi libat urus bersama semua sekolah di bawah kelolaan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang menyertai Program Reformasi Sekolah.

“Setiap ringgit yang disalurkan perlu memberi impak kepada perkara yang paling utama iaitu memperkukuh pedagogi, memperkasa kesihatan mental serta meningkatkan kesejahteraan seluruh warga sekolah.

“Apabila guru lebih bersedia, murid lebih bersemangat dan sekolah menjadi lebih sejahtera, di situlah nilai sebenar reformasi dapat dirasai,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Fadhlina, pelaksanaan Program Reformasi Sekolah dimulakan secara berperingkat dengan membabitkan 10 sekolah di setiap daerah sebagai fasa permulaan.

Beliau yakin usaha tersebut akan terus berkembang dengan sokongan kepimpinan sekolah yang berwawasan.

“Saya yakin dengan kepimpinan yang berwawasan, langkah kecil hari ini akan berkembang menjadi lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button