BERITA SEMASA

Pelajar Orang Asli rai cemerlang STPM

SELAYANG — Hidup dalam serba kekurangan tanpa kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan capaian internet tidak menghalang seorang pelajar Orang Asli, Roziana Tan Beng Hai, 20, meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Gemok, Kuala Rompin, Pahang itu mencatatkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00, sekali gus dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM bagi kategori Orang Asli.

Roziana, anak kedua daripada dua beradik yang berasal dari Kampung Mentelong Rompin berkata, cabaran utama yang dihadapi ialah jarak rumah yang jauh dari sekolah, ketiadaan bekalan elektrik serta ketiadaan akses internet di kampungnya.

“Perjalanan dari rumah ke sekolah ambil masa hampir sejam, jadi saya ambil keputusan untuk tinggal di asrama.

“Di kampung tiada liputan internet, jadi saya perlu berjalan dua hingga tiga kilometer ke hadapan kampung untuk dapatkan sambungan. Elektrik pula tiada, jadi kami gunakan generator untuk mengecas telefon,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2024 di sini, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Mengulas lanjut, Roziana dari suku Jakun berkata, kejayaannya adalah hasil disiplin tinggi dan pendekatan konsisten dalam pembelajaran.

“Saya sentiasa berdisiplin dan konsisten. Kalau tidak faham, saya tidak malu untuk bertanya. Saya juga menetapkan matlamat dan mengurus masa sebaik mungkin,” katanya lagi.

Roziana yang bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan hasrat untuk mengubah nasib keluarga.

“Saya mahu memperbaiki kedudukan sosial keluarga dan buktikan bahawa anak Orang Asli juga mampu berjaya,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button