Saya tidak datang dengan janji kosong’ – Dr Hakim mohon pengundi buat pilihan demi masa depan Rantau
REMBAU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi merayu pengundi membuat pilihan berdasarkan masa depan kawasan itu menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan esok.
Beliau berkata, setiap undi yang diberikan bakal menentukan hala tuju Rantau untuk tempoh lima tahun akan datang.
Justeru pengundi disaran membuat keputusan yang mampu membawa perubahan positif kepada kehidupan mereka.
“Saya berharap pengundi membuat pilihan berdasarkan masa depan Rantau.
“Kita semua mahukan kehidupan yang lebih baik, kos sara hidup yang lebih terkawal, peluang pekerjaan untuk anak-anak serta kemudahan yang benar-benar membantu rakyat,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Menurut beliau, fokus perjuangannya bukan sekadar menawarkan janji pilihan raya, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kebajikan keluarga, mengembangkan ekonomi setempat dan menjamin masa depan golongan muda melalui pembangunan kemahiran.

“Saya tidak datang dengan janji kosong. Fokus saya jelas iaitu keluarga terbela, ekonomi diperkukuh dan masa depan anak muda dijamin melalui kemahiran,” katanya lagi.
Dr Hakim turut menegaskan beliau tidak meminta sokongan semata-mata atas faktor parti, sebaliknya mahu diberi peluang membuktikan bahawa politik boleh dilaksanakan dengan lebih jujur serta memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya tidak minta undi kerana parti, tetapi peluang untuk buktikan bahawa politik boleh jadi lebih jujur dan memberi hasil.
“Jika mahukan perubahan, saya mohon sokongan anda,” katanya.
Dr Hakim akan berdepan saingan satu lawan satu dengan penyandang DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan daripada Barisan Nasional.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















