Gambar lama Anwar bersama moyang pelajar imbau kenangan 1982
KUALA LUMPUR – Sekeping gambar lama yang diserahkan seorang pelajar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengimbau kembali kenangan ketika beliau meraikan kemenangan pertama di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 1982.
Anwar berkata, gambar berkenaan merakamkan detik beliau diraikan oleh Allahyarham Arshad Ahmad, moyang kepada pelajar terbabit, Zahra Mohamad Zelman, ketika itu.
Beliau berkongsi kisah berkenaan selepas disapa Zahra bersama rakan-rakan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah, ketika berada di Parlimen, hari ini.
“Saya tersentuh tatkala Zahra menghulurkan sekeping gambar lama yang merakamkan saat saya diraikan oleh almarhum moyangnya, saudara Arshad Ahmad, sewaktu saya baru sahaja memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh buat kali pertama pada tahun 1982,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Menurut Anwar, meskipun peristiwa yang dirakamkan itu sudah lama berlalu, ingatan terhadap individu yang pernah hadir dan menjadi sebahagian daripada perjalanan perjuangannya kekal terpahat dalam sanubari.
“Sekeping gambar, tetapi menyimpan begitu banyak kenangan dan kisah. Waktu yang cuba dihimbau itu sudah lama berlalu, namun ingatan terhadap insan-insan serta kalangan mereka yang pernah hadir dan menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang perjuangan kekal di sanubari yang terdalam,” katanya.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut menitipkan pesanan kepada Zahra dan rakan-rakannya supaya terus menuntut ilmu, berani menyimpan cita-cita serta tidak berputus asa dalam mengejar impian.
Beliau turut mendoakan agar perjalanan hidup pelajar berkenaan sentiasa dipermudah dan masa depan mereka dipenuhi harapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














