BISNES & EKONOMIGAYA HIDUP

Thule perkenal koleksi kerusi keselamatan kanak-kanak generasi baharu

PETALING JAYA – Keperluan keselamatan dan keselesaan kanak-kanak ketika dalam perjalanan menjadi tumpuan Thule menerusi pengenalan koleksi kerusi keselamatan kereta terbaharu pada Thule Expo 2026 di JioSpace, di sini, baru-baru ini.

Jenama produk gaya hidup aktif dari Sweden itu memperkenalkan tiga model utama iaitu Thule Maple, Thule Elm dan Thule Palm yang direka bagi memenuhi keperluan keselamatan serta keselesaan bayi dan kanak-kanak mengikut peringkat usia.

Pameran eksklusif itu menghimpunkan 180 tetamu termasuk 80 pengedar dari rantau Asia Pasifik, rakan niaga tempatan serta wakil media sebagai usaha memperkukuh kedudukan jenama berkenaan di rantau ini.

Acara berkenaan turut menampilkan demonstrasi secara langsung bagi memperlihatkan bagaimana koleksi kerusi keselamatan itu boleh dipindahkan dengan mudah dari kenderaan ke sistem kereta sorong bayi Thule.

thule
Antara produk gaya hidup aktif Thule yang dipamerkan termasuk khemah atas bumbung pada Thule Expo 2026.

Naib Presiden Jualan Thule, Daniel Larsson menyampaikan ucapan pembukaan sebelum demonstrasi produk dikendalikan Pengurus Produk, Ahmad, yang memperincikan ciri ergonomik, keselamatan serta kemudahan penggunaan dalam rutin harian keluarga moden.

Thule Maple ialah kerusi keselamatan bayi yang direka untuk bayi baru lahir dan kanak-kanak kecil, dengan ciri penarafan keselamatan tinggi, keselesaan boleh laras melalui fungsi sandaran boleh direbahkan serta keserasian dengan kereta sorong Thule.

Sementara itu, Thule Elm merupakan kerusi keselamatan kanak-kanak premium dengan fungsi putaran 360 darjah, keupayaan menghadap ke belakang untuk tempoh lebih panjang serta beberapa kedudukan sandaran bagi menyesuaikan keperluan kanak-kanak yang sedang membesar.

Model ketiga, Thule Palm pula ialah kerusi penggalak bersandar tinggi berstandard i-Size yang menekankan aspek keselesaan sebagai sebahagian daripada keselamatan.

thule
Antara produk gaya hidup aktif Thule yang dipamerkan termasuk sistem pembawa basikal pada Thule Expo 2026.

Ia dilengkapi laluan tali pinggang keselamatan yang intuitif, sistem kestabilan ISOFIX serta reka bentuk yang membolehkan sehingga tiga kerusi dipasang sebaris di tempat duduk belakang bagi pelbagai jenis kenderaan yang mempunyai ruang bersesuaian.

Selepas sesi pelancaran dan demonstrasi, tetamu berpeluang meneroka produk berkenaan menerusi zon pengalaman Active with Kids yang menampilkan koleksi kerusi keselamatan, ruang pameran khusus, pilihan warna serta aksesori perjalanan keluarga.

Selain produk untuk kanak-kanak, pameran itu turut mengetengahkan rangkaian kelengkapan gaya hidup aktif Thule termasuk khemah atas bumbung kenderaan dan sistem pembawa basikal yang dipasang di bahagian belakang kereta.

Turut dipamerkan ialah pelbagai aksesori perjalanan dan aktiviti luar seperti kotak bumbung kenderaan, beg bagasi serta kelengkapan untuk penggemar aktiviti luar, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian produk Thule bagi memenuhi keperluan perjalanan dan rekreasi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button