BERITA SEMASA

Melaka Showcase 2026: ADUN Duyong turun padang sokong 64 usahawan tempatan

KUALA LUMPUR – Usaha memperluas pasaran produk tempatan terus mendapat sokongan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem turun padang menyantuni 64 usahawan Melaka yang menyertai Melaka Showcase 2026.

Beliau meluangkan masa beramah mesra dengan usahawan menerusi sesi walkabout di ruang pameran, selain meninjau pelbagai produk dan perkhidmatan yang diketengahkan sepanjang program berkenaan.

melaka
Mohd Noor Helmy menyantuni seorang usahawan wanita pada acara tersebut.

Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka berkata, Melaka Showcase 2026 menjadi platform penting untuk memperkenalkan keunikan negeri itu kepada pasaran lebih luas.

“Penganjuran program ini amat bertepatan dalam menjenamakan Melaka sebagai destinasi pelancongan, ekonomi dan keusahawanan yang mempunyai nilai komersial tinggi.

“Di samping itu, ia juga membuka ruang kepada usahawan Bumiputera mempromosikan produk dan perkhidmatan kepada pelanggan, pemain industri serta rakan strategik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kekuatan Melaka bukan hanya terletak pada sejarah dan warisan tetapi turut merangkumi produk usahawan tempatan, makanan, kraftangan, budaya serta pengalaman autentik yang mempunyai potensi komersial.

melaka
Orang ramai dan peserta tidak melepaskan peluang bergambar bersama Mohd Noor Helmy.

Kehadiran beliau turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sempena Bulan Kebangsaan, termasuk sesi ‘Meet & Greet’ bersama Persatuan Anak Melaka dan Anak Merdeka, sambutan serta sesi potong kek Anak Merdeka dan persembahan kebudayaan.

Turut berlangsung penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Pesona Kebaya Nyonya Merdeka x PUSPANITA MARA bertemakan ‘Warisan Nyonya, Jiwa Merdeka’.

Dalam pada itu, Mohd Noor Helmy turut menghadiri sesi Padanan Perniagaan (Business Matching) yang mempertemukan usahawan Melaka dengan syarikat, pembeli dan rakan strategik berpotensi.

Antara pemain industri yang terlibat ialah MYDIN, Family Store, Suri Delicacies, Fresca Mart, SH Synergy Sdn Bhd, Pasaraya ST Rosyam, Econsave, Pasaraya Jasin Point dan Pasaraya Angee.

melaka
Mohd Noor Helmy melakukan sesi walkabout di sebuah reruai usahawan jualan kopi di acara tersebut.

Program Business Matching@Melaka Showcase 2026 yang disertai 30 usahawan menyasarkan nilai jualan RM4.16 juta melalui jualan terus, peluang pembekalan, jaringan perniagaan dan potensi kerjasama komersial.

“Saya amat teruja dengan inisiatif MARA Melaka membawa sesi Business Matching di Melaka Showcase 2026.

“Usaha ini mampu memberikan peluang lebih besar kepada usahawan Melaka untuk memahami keperluan pasaran serta membuka laluan kepada produk tempatan memasuki saluran pasaran yang lebih luas,” katanya.

Beliau turut menyempurnakan peluncuran produk baharu TMF Batek Melaka, iaitu produk batik bermotifkan bunga kesidang yang diketengahkan sebagai salah satu warisan unik identiti Melaka.

melaka
Mohd Noor Helmy menandatangani plak kehadiran sempena Melaka Showcase 2026.

Mohd Noor Helmy berkata, inisiatif seperti itu penting bagi menggalakkan usahawan terus menghasilkan produk baharu, meningkatkan nilai tambah dan memperkukuh penjenamaan.

“Diharapkan inisiatif seumpama ini dapat memberi suntikan semangat kepada usahawan Melaka untuk terus menghasilkan produk baharu, meningkatkan nilai tambah serta memperkukuh penjenamaan bagi memenuhi kehendak pasaran semasa,” katanya.

Melaka Showcase 2026 berlangsung dari 26 hingga 28 Ogos di Ibu Pejabat MARA, Kuala Lumpur, menghimpunkan usahawan, pemain industri, pembeli, rakan strategik dan komuniti dalam satu platform yang memberi tumpuan kepada pembangunan perniagaan serta pengembangan pasaran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button