SPR kaji semula persempadanan jika kerusi Parlimen ditambah
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya sekiranya pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan penambahan kerusi Parlimen diluluskan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, cadangan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak itu turut mengambil kira Bahagian Pilihan Raya Tanah Melayu.
Menurutnya, prinsip yang akan digunakan adalah nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak turut ditingkatkan berbanding kedudukan semasa.
“Penambahan kerusi Parlimen tersebut kelak, turut mengambil kira Bahagian Pilihan Raya Tanah Melayu dengan prinsip bahawa nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak turut ditingkatkan daripada kedudukan semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, dalam konteks persempadanan bahagian pilihan raya di ketiga-tiga unit kajian berkenaan, kajian semula akan dilaksanakan tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan penambahan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.
Anwar menyentuh perkara itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), pada 11 September lalu.
Dalam pada itu, Ramlan berkata, pihaknya akan memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara berkenaan apabila terdapat keputusan rasmi serta perkembangan yang membolehkan ia dimaklumkan kepada umum.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








