LUAR NEGARA

Kereta api laju bertembung di Sepanyol, sekurang-kurangnya 30 maut

MADRID – Sekurang-kurangnya 30 maut apabila dua buah kereta api berkelajuan tinggi bertembung di Sepanyol, hari ini.

Reuters yang memetik laporan pihak berkuasa tempatan berkata, kemalangan itu berlaku di laluan yang menghubungkan Madrid dengan wilayah selatan Andalusia.

Rakaman daripada stesen televisyen serantau Castilla-La Mancha Television memaparkan sebuah kereta api yang tergelincir dengan sekurang-kurangnya satu gerabak masih berada di atas bahagian landasan bertingkat, manakala serpihan logam remuk, panel pecah dan bangkai kereta api kelihatan bertaburan di benteng bawah landasan berkenaan.

Miguel, seorang penumpang yang menaiki gerabak belakang salah sebuah kereta api itu bersama beberapa rakan sekerjanya, menceritakan detik cemas kemalangan tersebut kepada stesen radio COPE.

“Kami mendengar bunyi ngauman yang kuat, dentuman yang amat dahsyat berlarutan selama 10 saat, seolah-olah kereta api itu mahu tergelincir. Melalui tingkap sebelah kanan, kami dapat melihat sebuah kereta api yang hancur berkecai – saya rasa itu pasti kereta api yang satu lagi,” katanya.

Kerajaan wilayah Castilla-La Mancha berkata, angka korban meningkat kepada 30 orang berbanding 10 orang sebelum ini, susulan amaran awal bahawa jumlah tersebut mungkin bertambah.

Nahas kali ini berlaku hanya sembilan bulan selepas kemalangan melibatkan kereta api laju milik pengendali yang sama di laluan berkenaan dan mengorbankan 46 nyawa.

Nahas pada Januari lalu itu berlaku selepas sebuah kereta api tergelincir lalu merempuh kereta api lain dari arah bertentangan berhampiran Adamuz di wilayah Cordoba.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button