JENAYAH & MAHKAMAH

Hanya sempat bergelar isteri dua bulan, wanita maut dalam kemalangan di Pantai Lido

JOHOR BAHRU – Seorang wanita yang baharu dua bulan mendirikan rumah tangga maut selepas motosikal yang dinaikinya bersama suami terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 2, Jalan Skudai Pantai Lido menghala ke Skudai, petang semalam.

Dalam kejadian pada pukul 7.50 petang itu, mangsa, Siti Nur Aisyah Mohd Amin, 25, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, siasatan awal mendapati motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang suami mangsa bersama isterinya dipercayai sedang membuat pusingan U menghala ke Skudai sebelum dirempuh dari belakang oleh sebuah motosikal Yamaha Y125 yang ditunggang lelaki tempatan berusia 23 tahun.

“Akibat rempuhan itu, motosikal mangsa hilang kawalan dan terbabas, manakala isterinya terjatuh di tengah jalan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Dalam kemalangan sama, sebuah lagi motosikal Yamaha Y125ZR yang ditunggang lelaki tempatan bersama tunangnya turut terbabas sebelum merempuh sebuah kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat, manakala semua mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital sama.

Azrul Hisham turut menegaskan bahawa hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti lumba haram, sekali gus menafikan dakwaan yang tular di media sosial.

Difahamkan, mangsa dan suaminya baru mendirikan rumah tangga pada pertengahan Mei.

Sebelum kejadian, pasangan itu dikatakan dalam perjalanan pulang selepas melawat kenalan di Hospital Sultanah Aminah.

Gambar suami mangsa yang memeluk jasad isterinya di lokasi kejadian turut tular di media sosial dan mengundang rasa sebak dalam kalangan orang ramai.

Jenazah Allahyarham Siti Nur Aisyah dijangka dikebumikan di kampung halamannya di Dabong, Kelantan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button