BERITA SEMASA

Pelajar tingkatan lima jatuh dalam perigi, berzikir hampir sejam sebelum diselamat

TUMPAT – Seorang pelajar tingkatan lima melalui detik cemas apabila terjatuh ke dalam sebuah perigi sedalam 5.5 meter di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah, di sini pagi tadi sebelum diselamatkan pasukan bomba.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Wan Ahmad Mukhlis Wan Md Fadhli, 17, mengalami kecederaan pada bahagian kepala selepas terjatuh ke dalam perigi yang dipenuhi air hingga paras pinggang.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Azmi Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai duduk di atas penutup perigi yang diperbuat daripada simen sementara menunggu peperiksaan yang dijadualkan pada pukul 11 pagi.

Menurutnya, mangsa ketika itu sedang berbual bersama rakan-rakan sebelum penutup perigi tersebut tiba-tiba pecah.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam perigi. Tukang kebun sekolah cuba turun untuk menyelamatkannya, namun gagal kerana mengalami kesukaran bernafas.

“Mangsa berada dalam keadaan sedar walaupun mengalami kecederaan pada kepala dan dikatakan berzikir sepanjang hampir sejam berada di dalam perigi bagi menghilangkan rasa takut sementara menunggu ketibaan bomba,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, anggota bomba kemudian menggunakan tali dan tangga untuk mengeluarkan mangsa dari perigi berkenaan.

Menurutnya, remaja itu seterusnya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu dengan menaiki ambulans untuk menerima rawatan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button