BERITA SEMASALUAR NEGARA

Tesla diperintah bayar ganti rugi RM1.13 bilion kepada mangsa kemalangan autopilot

FLORIDA – Keputusan juri persekutuan di Miami memerintahkan syarikat kenderaan milik Elon Musk, Tesla membayar lebih AS$240 juta (kira-kira RM1.1 bilion) kepada mangsa dan keluarga mangsa dalam kes kemalangan maut melibatkan teknologi bantuan pemanduan Autopilot syarikat itu pada tahun 2019.

Keputusan yang dibuat selepas perbicaraan selama empat tahun itu menjadi tamparan hebat kepada Tesla dan berpotensi membuka jalan kepada lebih banyak tindakan undang-undang terhadap syarikat itu pada masa akan datang.

Kes itu melibatkan kematian seorang pemandu dan kecederaan serius ke atas penumpang selepas kenderaan Tesla yang menggunakan mod autopilot terbabas dan merempuh pokok sebelum terbakar.

Keputusan itu juga menamatkan pertikaian yang bukan sahaja luar biasa dari segi jumlah pampasan bahkan apabila ia berjaya dibicarakan.

Sebelum ini kebanyakan kes yang serupa terhadap Tesla berakhir dengan penyelesaiana di luar mahkamah bagi mengelakkan perhatian awam.

Sepanjang perbicaraan, pihak plaintif yang mewakili keluarga mendiang Naibel Benavides Leon, 22, dan teman lelakinya yang cedera, Dillon Angulo, turut mendakwa Tesla menyembunyikan atau kehilangan bukti penting termasuk data dan rakaman video beberapa saat sebelum nahas berlaku, memetik laporan france24.com.

Dalam penghujahan peguam, sistem autopilot dikatakan gagal berfungsi seperti diiklankan dan menjelaskan kenderaan elektrik itu lalai dalam memastikan keselamatan produk.

Tesla sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa fungsi autopilot hanya merupakan sistem bantuan pemanduan dan masih memerlukan perhatian penuh pemandu.

Namun, keputusan juri mencapai persetujuan bahawa hujah itu tidak mencukupi untuk melepaskan syarikat daripada tanggungjawab.

Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika Tesla berdepan siasatan daripada beberapa pihak berkuasa persekutuan di Amerika Syarikat berhubung keselamatan dan pengiklanan sistem autopilot dan full self-driving (FSD).

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button