BERITA SEMASA

MARA bantu Lovely Sabana lanjut pengajian ke UPSI

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) melalui Yayasan Pelajaran MARA (YPM) akan membantu pelajar keturunan Kadazan-Siam, Lovely Sabana Augustine, dengan sumbangan RM1,000 sebagai wang persiapan bagi membolehkannya melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Bantuan itu diberikan selepas kisah Lovely yang memperoleh keputusan 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan ditawarkan mengikuti pengajian dalam bidang Pendidikan Moral di UPSI tular di media sosial.

Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau turut menghubungi Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, bagi mendapatkan bantuan untuk meringankan beban pelajar terbabit.

Katanya, pihak UPSI bersetuju memberikan pelepasan khas berkaitan yuran bagi membantu Lovely meneruskan pengajian.

Dr Asyraf Wajdi berkata, beliau turut menghulurkan sumbangan peribadi sebagai tanda sokongan kepada Lovely.

“Semoga sedikit bantuan ini menjadi pembuka jalan untuk adik Lovely memulakan langkah sebagai mahasiswa dan mengejar cita-cita untuk menjadi seorang pendidik serta dalam mengubah kehidupan keluarga apabila berjaya nanti,” katanya.

Kisah Lovely sebelum ini mendapat perhatian ramai selepas perkongsian mengenai pencapaian akademik dan latar belakang keluarganya tular, sekali gus mencetuskan usaha pelbagai pihak untuk membantunya meneruskan pengajian.

Lovely yang berasal dari keluarga kurang berkemampuan sebelum ini dilaporkan berdepan kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Ibunya bekerja sebagai tukang cuci sekolah, selain mengambil pekerjaan sambilan sebagai anggota RELA yang menjaga masjid pada hari Jumaat dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak menghalang Lovely daripada mencatat keputusan cemerlang 4.0 dalam STPM.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir semalam memberi jaminan pihaknya akan membantu pelajar berkenaan melanjutkan pelajaran selepas mendapat tempat di UPSI.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button