UPSI raikan media, rakan strategik dalam Majlis Iftar Silaturahim
KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meraikan wakil media dan rakan strategik dalam Majlis Iftar Silaturahim UPSI Bersama Media dan Rakan Strategik 2026 yang berlangsung di Hotel Seri Pacific di sini semalam.
Majlis tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan berterusan pihak media dan rakan industri yang selama ini membantu mempromosikan pelbagai inisiatif serta pencapaian universiti berkenaan.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, majlis berkenaan menghimpunkan kira-kira 94 jemputan terdiri daripada 57 wakil daripada 28 agensi media serta 37 wakil daripada 23 agensi rakan strategik.

Menurut beliau, penganjuran program tersebut menjadi platform untuk menghargai peranan media dan rakan industri yang sentiasa menyokong perkembangan universiti itu.
“Bagi pihak UPSI, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan wartawan dan rakan industri kerana berkat doa, bantuan dan promosi daripada kalian, UPSI kini menjadi sebuah universiti yang ternama, tersohor dan terkemuka,” katanya dalam ucapan semalam.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media yang sentiasa bersama universiti itu termasuk ketika berdepan detik sukar, khususnya insiden yang meragut nyawa 15 pelajar pada Jun tahun lalu.
“Sokongan dan liputan media pada ketika itu banyak membantu memulihkan semangat warga universiti yang berdepan dengan kesedihan.
“Pasukan media sentiasa bersama kami dalam susah dan senang serta membantu mengangkat kembali moral warga UPSI ketika berdepan saat yang amat mencabar,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Md Amin berkata hubungan erat antara universiti, media dan rakan industri terus menjadi pemangkin kepada kejayaan UPSI di peringkat global.
Menurutnya, UPSI kini berada pada kedudukan 101 terbaik dunia dalam bidang pendidikan selain menduduki tangga ke-156 terbaik di Asia dalam QS World University Rankings Asia 2026.
UPSI juga berada pada kedudukan ke-98 dunia dalam penarafan UI GreenMetric yang menilai komitmen institusi terhadap kelestarian alam sekitar dan pengurusan tenaga hijau.
Tambah beliau, universiti itu akan terus memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk industri bagi memastikan peranan institusi pendidikan tinggi dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara dapat diperkasa.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















