BERITA SEMASA

NCDC 2.0 lonjak dasar pendidikan berasaskan data – Fadhlina

PUTRAJAYA – Peluncuran Sistem National Child Data Centre (NCDC) 2.0 serta integrasi Education for Sustainable Development (ESD) menjadi pemangkin penting dalam usaha negara memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak berasaskan data yang lebih tersusun dan berkesan.

Fadhlina bergambar kenangan bersama barisan pengurusan tertinggi UPSI dan tetamu pada majlis Peluncuran Sistem National Child Data Centre (NCDC) 2.0, Peluncuran Integrasi Education Sustainable Development (ESD) in Early Childhood dan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia peringkat UPSI 2025 di PICC, Putrajaya.
Fadhlina bergambar kenangan bersama barisan pengurusan tertinggi UPSI dan tetamu pada majlis Peluncuran Sistem National Child Data Centre (NCDC) 2.0, Peluncuran Integrasi Education Sustainable Development (ESD) in Early Childhood dan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia peringkat UPSI 2025 di PICC, Putrajaya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, NCDC 2.0 yang dibangunkan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), berfungsi sebagai pangkalan data komprehensif untuk rujukan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, penggubal dasar, industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, sistem itu turut menerima kerjasama penuh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Bahagian PERMATA, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) serta Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Md Amin ketika menyampaikan ucapan aluan pada majlis Peluncuran Sistem National Child Data Centre (NCDC) 2.0, Peluncuran Integrasi Education Sustainable Development (ESD) in Early Childhood dan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia peringkat UPSI 2025 di PICC, Putrajaya.
Md Amin ketika menyampaikan ucapan aluan pada majlis Peluncuran Sistem National Child Data Centre (NCDC) 2.0, Peluncuran Integrasi Education Sustainable Development (ESD) in Early Childhood dan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia peringkat UPSI 2025 di PICC, Putrajaya.

“NCDC telah membuktikan keberkesanan di peringkat antarabangsa apabila NCDRC diiktiraf UNICEF Indonesia dan Kementerian Pendidikan serta Kebudayaan Indonesia sebagai pakar rujuk pembangunan pangkalan data kanak-kanak pada 2017.

“Sistem ini juga memainkan peranan semasa pandemik COVID-19 apabila digunakan bagi menyokong proses permohonan kelayakan TASKA untuk menerima bantuan JKM di bawah Pakej PEMULIH,” katanya ketika merasmikan majlis peluncuran itu di Putrajaya International Convention Centre (PICC), hari ini.

Fadhlina menegaskan bahawa data berpusat menjadi asas penting dalam membuat keputusan berasaskan bukti serta merangka dasar lebih inklusif yang dapat memperkukuh kerjasama kerajaan, industri dan masyarakat sivil.

“KPM menyambut baik peluasan penggunaan sistem ini ke peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah sebagai usaha meningkatkan kualiti pendidikan kanak-kanak,” katanya lagi.

Beliau turut mengiktiraf peranan NCDRC sebagai rakan strategik dalam pembangunan Kurikulum Persekolahan 2026, termasuk penyelarasan semula umur prasekolah serta penyediaan modul pendidikan berasaskan data.

Dalam majlis sama, Fadhlina menyampaikan penghargaan kepada UPSI dan NCDRC atas pencapaian memperkenalkan ESD di peringkat prasekolah sehingga diiktiraf sebagai sebahagian rangkaian sekolah UNESCO di Malaysia.

“Inisiatif ini membentuk kesedaran awal mengenai kelestarian alam sekitar, selain mencerminkan komitmen institusi akademik terhadap pembinaan generasi masa depan,” katanya lagi.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, peluncuran NCDC 2.0 dan integrasi ESD menandakan komitmen UPSI dalam memperkukuh dasar pendidikan awal negara berasaskan data dan penyelidikan.

Menurutnya, NCDC 2.0 kini merekodkan 3,273 TASKA berdaftar, 16,350 kakitangan, 75,663 kanak-kanak bawah lima tahun, serta 454,000 rekod perkembangan kanak-kanak, termasuk kohort kelahiran pertama pada 2010.

“Integrasi dengan rekod kesihatan membolehkan pemantauan lebih holistik dan perancangan intervensi awal yang lebih tepat,” katanya lagi.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Wakil Timbalan (Program) UNICEF, Sanya Saranovic; serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof Dr Suriani Abu Bakar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button