BERITA SEMASA

Ismail diarah menghadap Tuanku Muhriz selesaikan kemelut Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim diarahkan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi membincangkan penyelesaian kemelut yang berlaku di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kaedah terbaik perlu dicari di peringkat negeri bagi memastikan keadaan tidak menjadi semakin keruh dan rakyat tidak menjadi mangsa.

Menurutnya, Ismail turut diberikan mandat untuk bertemu Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin, Datuk Shahbandar serta hierarki adat negeri bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut berkenaan.

“Yang penting, rakyat mesti diberikan keutamaan. Masalah mereka mesti ditangani dan mesti disantuni.

“Kita cari jalan penyelesaian yang baik di peringkat negeri dan tentunya kita tidak mahu keadaan semakin keruh dan rakyat akan dimangsakan dengan situasi ini,” memetik Utusan Online.

Ahmad Zahid berkata, pengisytiharan darurat bukan pilihan yang perlu dipertimbangkan bagi menyelesaikan kemelut berkenaan kerana tiada kekecohan dari segi keselamatan berlaku di Negeri Sembilan.

“Saya tidak fikir ia harus menuju ke arah itu sebab tidak ada sebarang kekecohan dari segi keamanan di Negeri Sembilan dan tidak perlu pun perkara itu untuk difikirkan.

“Tentu ada pilihan yang lebih baik selain daripada mengisytiharkan darurat dan menubuhkan Majlis Darurat di Negeri Sembilan,” katanya lagi.

Menurutnya, perbincangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Pas Negeri Sembilan turut diadakan bagi menyelaras usaha mencari penyelesaian terhadap kemelut berkenaan.

“Perbincangan itu bertujuan menyelaras langkah penyelesaian tanpa mencampuri urusan pentadbiran negeri,” katanya lagi.

Kemelut di Negeri Sembilan tercetus susulan perkembangan berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar negeri berkenaan serta pembatalan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 Exco berkuat kuasa 20 September lalu selepas baginda mendapati mereka melanggar ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Perkembangan itu menyebabkan usaha mencari penyelesaian terhadap kemelut pentadbiran dan adat negeri diteruskan dengan mengambil kira Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta institusi dan hierarki adat negeri.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, kerjasama BN dengan Kerajaan Perpaduan akan berakhir sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.

Menurutnya, BN membuat keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi memastikan kestabilan politik negara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerjasama dalam kerajaan tidak bermakna BN menyerahkan identiti atau pendirian parti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button