POLITIK

Zahid persoal pihak didakwa ‘memaksa’ Ismail tandatangani dokumen

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memperjelaskan dakwaannya bahawa beliau dipaksa menandatangani dokumen Surat Cara Proklamasi bagi menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Beliau berkata, dakwaan berkenaan merupakan kenyataan peribadi Ismail dan wajar disahkan, termasuk sekiranya terdapat peguam yang hadir ketika dokumen terbabit ditandatangani.

“Siapa yang paksa? Dia (Ismail) kata dia dipaksa, itu ayat dia. Saya rasa elok kalau kenyataan itu diabsahkan oleh peguamnya jika ada ketika menandatangani dokumen berkenaan.

“Mungkin ada sidang media yang akan diadakan dalam terdekat berhubung perkara ini,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC), di sini hari ini.

Terdahulu, Ismail Lasim menegaskan dokumen Surat Cara Proklamasi bagi menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang beliau tandatangani seperti tular dibuat tanpa rela hati dan dilakukan secara paksaan.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis kira-kira jam 6 petang semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa.

“Saya ingin menjelaskan bahawa Surat Cara (Proklamasi) itu telah saya tandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan (duress).

“Saya telah membuat laporan polis pada sekitar jam 6 petang pada 8 September 2026 bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Kerajaan Negeri berpendirian bahawa Surat Cara tersebut adalah tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS). Oleh itu, ia adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan.

Ismail yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos lalu berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan Bil 5 Tahun 2026 yang bersidang malam tadi, antara lain membincangkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Pendamai sebagai wadah untuk mencari penyelesaian isu adat secara harmoni, berhemah dan berlandaskan semangat muafakat.

Beliau berkata, dalam masa yang sama, kerajaan negeri turut merujuk kepada Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Persekutuan menjamin hak dan kedudukan Raja di sisi Perlembagaan.

“Kerajaan negeri perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kemuliaan dan kedudukan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus terpelihara.

“Saya sekali lagi menzahirkan sokongan penuh serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, yang sah dan berdaulat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button