POLITIK

PRK DUN Ayer Kuning: penentu kejayaan Kerajaan Perpaduan – Ahmad Zahid

TAPAH – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning disifatkan sebagai medan penting bagi menentukan kejayaan Kerajaan Perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, kemenangan di Ayer Kuning akan menjadi kesinambungan kepada rentak kejayaan dalam PRK DUN Nenggiri dan Mahkota sebelum ini.

ayer kuning
Jentera BN bersama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyuarakan hasrat yang sama agar kemenangan terdahulu diteruskan di Ayer Kuning,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PRK N48 DUN Ayer Kuning di Pusat Arahan BN, Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh, semalam.

Ahmad Zahid menjelaskan bahawa PRK Ayer Kuning merupakan yang kelapan dalam era Kerajaan Perpaduan, melibatkan lima kerusi ditandingi BN dan tiga oleh Pakatan Harapan (PH).

ayer kuning
Pelancaran jentera BN di PRK Dun Ayer Kuning

“PRK kelima bagi BN ini amat penting kerana ia membawa erti bahawa permulaan Kerajaan Perpaduan itu sendiri bermula dari Perak,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan jentera BN dan PH agar bersiap siaga menghadapi cabaran politik daripada pihak lawan, meskipun gabungan itu dijangka memiliki kelebihan dari segi jumlah undi.

“Di atas kertas, kombinasi BN dan PH dilihat mampu meraih undi besar, tetapi itu bukan jaminan mutlak.

“Kita perlu memenangi hati dan pemikiran rakyat, khususnya para pengundi,” katanya lagi.

Ahmad Zahid juga merakamkan penghargaan kepada pimpinan PH di negeri itu atas semangat kerjasama yang ditunjukkan sepanjang pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Kami amat menghargai kesepakatan dinamik yang ditunjukkan oleh rakan-rakan dalam PH.

“Ia membuktikan bahawa perpaduan itu bukan hanya retorik, tetapi satu realiti politik baharu di Perak,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button