PRK DUN Mahkota: Sila hormati jika kerusi itu kepunyaan sesebuah parti – Zahid Hamidi
PUTRAJAYA – “Sila hormati sekiranya kerusi itu kepunyaan sesebuah parti,” demikian kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung hasrat Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) yang ingin meletakkan calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, secara formulanya, kerusi itu akan diberikan kepada parti yang diwakili oleh ADUN sebelum itu.
“Sila hormati sekiranya kerusi itu kepunyaan sesebuah parti jadi formulanya kerusi itu akan diberikan kepada parti berkenaan bukan menuntut itu dan ini,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Simposium Perancangan dan Pembangunan Desa Negara Peringkat Kebangsaan 2024 di Putrajaya, hari ini.
Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu.
Semalam, Exco Pemuda Amanah, Fadhli Umar Aminolhuda dilaporkan berkata, permintaan meletakkan calon itu adalah hasrat Amanah Johor dan akar umbi parti itu yang sudah tersimpan lama kerana didakwa disisihkan daripada Kerajaan Johor.
Mengulas lanjut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, dalam hal ini, semangat Kerajaan Perpaduan harus diterjemahkan terlebih dahulu sebelum apa-apa keputusan dibuat.
Jelas beliau, pihaknya masih masih belum mengadakan perbincangan di peringkat pusat berhubung calon DUN Mahkota tersebut.
“Pemimpin di peringkat pusat kita belum duduk dan berbincang pun jadi saya fikir kita mesti menterjemahkan semangat Kerajaan Perpaduan bukannya menuntut itu dan ini,” katanya.
Mengulas mengenai calon awal yang mungkin diketengahkan, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, keutamaan ketika ini adalah untuk memastikan perkhidmatan kepada rakyat di kawasan berkenaan disambung.
“Allahyarham baru sahaja meninggal kita perlu simpati dengan keluarga mereka jangan kita tergopoh gapah untuk membuat formula politik menuntut itu dan ini kerana yang penting perkhidmatan kepada rakyat harus disambung dan
“Saya fikir terlalu awal untuk keluarkan kenyataan dalam perkara ini atas semangat Kerajaan Perpaduan kita lakukan kesepakatan dengan Kerajaan Negeri dan juga kepimpinan pusat dan selepas itu baru kita putuskan apa yang terbaik,” katanya.
Terdahulu, Ahli DUN Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63 menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), pada 2 Ogos lalu.
Sharifah yang juga Ketua Wanita UMNO Kluang sejak 1993 sehingga kini menyandang jawatan Ketua Wanita Umno Johor pada 2015-2018.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








