POLITIK

PRN: Zahid Hamidi mahu Gelombang biru Johor melimpah ke Negeri Sembilan

SEREMBAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu momentum kemenangan besar gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diteruskan ke Negeri Sembilan menerusi semangat ‘Gelombang Biru’.

Beliau berkata, kejayaan BN di Johor perlu dijadikan pembakar semangat kepada seluruh jentera parti untuk bekerja lebih keras bagi memastikan Negeri Sembilan kembali dipimpin oleh kerajaan yang berwibawa, berpengalaman serta diyakini rakyat.

“Kita bawa semangat Gelombang Biru dari Johor ke Negeri Sembilan. Insya-Allah, selepas Negeri Sembilan kita akan ke Melaka.

“Ini bukan masanya untuk kita berperang sesama sendiri atau berpecah-belah. Hari ini maruah kita menjadi taruhan. Hari ini masa depan menjadi taruhan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN PRN Negeri Sembilan di Paroi, malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kemenangan akan menjadi milik mereka yang berani berjuang dan bertahan sehingga ke garisan terakhir, sambil mengingatkan jentera BN bahawa cabaran di Negeri Sembilan berbeza berbanding negeri lain.

Katanya, kemenangan BN di Johor bukan tiket mudah untuk parti itu menawan Negeri Sembilan, sebaliknya seluruh jentera perlu turun ke gelanggang dengan bermula daripada sifar.

“Negeri lain padang lain, lubuknya lain. Kemenangan di Johor bukan tiket untuk kita menang di Negeri Sembilan.

“Kita mesti turun ke gelanggang, Setiap undi perlu dicari, disantuni dan setiap rumah perlu dikunjungi,” katanya.

Mengulas lanjut, Presiden UMNO itu berkata, BN memasuki PRN Negeri Sembilan dengan penuh keyakinan, namun tidak akan bersikap angkuh susulan kemenangan di Johor.

Katanya, kejayaan di Johor adalah hasil semangat kebersamaan keluarga besar BN yang bergerak sebagai satu pasukan.

“Kejayaan di Johor bukan datang daripada seorang calon. Ia datang daripada semangat kebersamaan keluarga besar UMNO dan BN,” katanya.

Zahid berkata, rakyat kini mahukan pemimpin yang bekerja serta menyelesaikan masalah, bukannya terikat dengan polemik politik.

Menurutnya, BN akan membawa pendekatan yang memberi tumpuan kepada keperluan rakyat termasuk peluang pekerjaan untuk anak muda serta hala tuju lebih jelas kepada rakyat negeri sembilan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button