POLITIK

BN kembali kuasai Negeri Sembilan, bentuk kerajaan baharu bersama PN

SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) kembali menerajui pentadbiran Negeri Sembilan selepas lapan tahun apabila berjaya memperoleh majoriti dua pertiga bersama Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 sekali gus menamatkan penguasaan Pakatan Harapan (PH).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan BN memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN meraih tujuh kerusi, menjadikan gabungan kedua-duanya menguasai 25 kerusi dan layak membentuk kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

Kemenangan itu menyaksikan UMNO memenangi kesemua 16 kerusi yang ditandingi, selain dua kerusi dimenangi MCA.

Bagi PN pula, PAS memperoleh empat kerusi manakala Parti Wawasan Negara (WAWASAN) menyumbang tiga kerusi.

Antara kemenangan paling mencuri tumpuan ialah di DUN Rantau apabila Timbalan Pengerusi BN yang juga Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, mempertahankan kerusi itu buat penggal keenam sejak 2004 dengan majoriti 12,018 undi selepas menewaskan calon PH, Dr Azizul Hakim Mahdi.

prn negeri sembilan
Datuk Seri Mohamad Hasan berjaya menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Azizul Hakim Mahdi dengan majoriti besar di DUN Rantau. 

Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan negeri yang bakal dibentuk berasaskan persefahaman antara BN dan PN serta mandat yang diberikan rakyat untuk membawa pentadbiran yang stabil dan memacu pembangunan negeri.

Menurut beliau, setiap komitmen yang terkandung dalam manifesto kedua-dua gabungan itu akan dilaksanakan secara berperingkat demi meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkukuh ekonomi serta mempertingkatkan daya saing Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, PH yang mentadbir negeri sejak 2018 hanya berjaya memenangi 11 kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi yang ditandingi.

DAP memperoleh sembilan kerusi, PKR dua kerusi, manakala Parti Amanah Negara (AMANAH) gagal memenangi sebarang kerusi.

Keputusan PRN kali ini turut menyaksikan kekalahan beberapa pemimpin utama PH.

Pengerusi PH Negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun tewas di DUN Linggi, manakala Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke gagal mempertahankan kerusi DUN Chennah yang disandang sejak 2013 selepas ditewaskan calon BN.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau menerima keputusan rakyat dengan hati terbuka dan menyifatkan kekalahan itu sebagai lumrah dalam politik.

aminuddin harun
Datuk Seri Aminuddin Harun tewas di DUN Linggi. 

Menurutnya, sejak DUN Negeri Sembilan dibubarkan, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada rakyat untuk menilai prestasi pentadbirannya sepanjang lapan tahun menerajui kerajaan negeri.

Sementara itu, parti lain termasuk BERSATU, Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) gagal memenangi sebarang kerusi yang ditandingi.

PRN Negeri Sembilan diadakan selepas DUN dibubarkan pada 5 Jun susulan krisis politik yang tercetus apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri daripada BN menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Aminuddin Harun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button