PRN Negeri Sembilan: Kerjasama BN-PN tambah keyakinan pengundi di DUN Kota
REMBAU – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan didakwa memberi impak positif apabila sokongan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota dilihat semakin meningkat.
Timbalan Ketua Cawangan UMNO Bongek, Amir Firdaus Nordin berkata, perjalanan kempen setakat ini berlangsung lancar dengan sambutan yang disifatkannya lebih baik berbanding pilihan raya sebelum ini.
“Kempen kita di DUN Kota berjalan lancar, meriah dan mendapat sambutan yang sangat baik, malah lebih baik daripada yang lepas-lepas.
“Saya berharap pengundi di DUN Kota dapat memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional, Suhaimi Aini agar dapat kita nobatkan sebagai wakil rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada hari pengundian nanti,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune pada sesi ceramah sempena kempen PRN Negeri Sembilan di Kampung Pulau Besar, di sini malam ini.

Menurut beliau, kerjasama yang terjalin dengan PN turut memberi kesan positif terhadap penerimaan masyarakat.
“Sambutan daripada pengundi amat baik. Dengan kita bekerjasama dengan pihak PN, ia bertambah baik.
“Saya melihat lebih ramai yang memberikan sokongan dan ada juga yang sebelum ini dilihat agak jauh daripada kita, kini semakin rapat dengan Barisan Nasional,” katanya.
Beliau turut menggesa pengundi terus memberi mandat kepada BN bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri.
“Undilah Barisan Nasional demi membentuk masa depan anak cucu kita dan generasi akan datang.
“Apa yang penting sekarang ialah kita perlu menjadikan Barisan Nasional sebagai kerajaan di Negeri Sembilan,” katanya.
Sementara itu, seorang pengundi muda, Siti Nur Husnina Nisa Mustaza, 25, berharap, kerajaan yang dipilih selepas PRN nanti benar-benar mengutamakan kebajikan rakyat.

Beliau yang akan mengundi buat kali kedua berkata, pemimpin yang dipilih perlu lebih dekat dengan rakyat dan memahami isu yang dihadapi di peringkat akar umbi.
“Saya harap pemimpin kali ini dapat mentadbir negeri dengan baik. Jangan hanya syok sendiri di atas, tetapi tengok juga keadaan rakyat di bawah.
“Saya mahukan pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat,” katanya.
Husnina berkata, setiap kali pilihan raya, beliau berasa teruja untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, malah pada PRN kali ini turut menyertai jentera pilihan raya dengan membantu membawa pengundi keluar mengundi.
“Ini pengalaman baharu bagi saya dan saya gembira dapat memainkan peranan membantu melancarkan proses pengundian,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















