PRN Negeri Sembilan: Nazri Kassim yakin sokongan rakyat Ampangan, fokus kebersihan dan penyelenggaraan
SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Nazri Kassim, yakin mampu meyakinkan pengundi di kawasan itu menerusi tawaran perkhidmatan yang memberi tumpuan kepada kebersihan, penyelenggaraan infrastruktur serta kesejahteraan penduduk.
Beliau berkata, proses penamaan calon yang berlangsung hari ini berjalan lancar dengan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara PH, Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu.
Menurut Nazri, beliau bersyukur apabila memperoleh nombor satu pada kertas undi, namun menganggap perkara itu bukan faktor utama penentu kemenangan sebaliknya usaha mendekati rakyat menjadi keutamaan.
“Saya kebetulan bersyukur dapat nombor satu, tetapi peluang untuk menang bergantung kepada usaha kita.
“Kita akan bekerja kuat untuk meyakinkan pengundi dan rakyat Ampangan bahawa PH serta calonnya mempunyai kesungguhan dan kemampuan untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Kita mahu menjadi suara kepada rakyat Ampangan dan memperjuangkan perkara yang menjadi keperluan mereka,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon hari ini.
Mengulas cabaran di DUN Ampangan, Nazri berkata kawasan itu merupakan kawasan yang telah matang dari sudut pembangunan dan mempunyai ruang pembangunan baharu yang agak terhad.
Katanya, kedudukan Ampangan yang berada di tengah-tengah Negeri Sembilan serta dalam kawasan Bandar Seremban menjadikan isu penyelenggaraan bandar sebagai antara perkara utama yang perlu diberi perhatian.
“Antara perkara yang perlu kita perjuangkan ialah menjaga kebersihan, memastikan penyelenggaraan jalan raya dibuat dengan baik, selain memastikan sungai dan longkang sentiasa dipelihara.
“Kita juga mahu meningkatkan program landskap supaya Ampangan menjadi kawasan yang lebih ceria, segar dan selesa untuk diduduki,” katanya.
Ditanya mengenai persaingan politik di Ampangan selepas BN tidak meletakkan calon di kawasan itu, Nazri berkata beliau tidak mahu terlalu memikirkan soal persaingan sebaliknya mahu memberi fokus kepada khidmat yang bakal ditawarkan kepada rakyat.
Menurutnya, baki tempoh kempen akan digunakan sepenuhnya untuk turun padang bertemu pengundi serta mendengar permasalahan rakyat Ampangan bagi memastikan suara mereka terus dibawa sekiranya diberi mandat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















