BERITA SEMASA

Beri rakyat ‘kail’, bukan ikan untuk jana pendapatan – Nik Muhammad Zawawi

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa memperluas bantuan berbentuk peralatan dan kemudahan menjana pendapatan bagi membantu rakyat membina kehidupan lebih stabil, berbanding terlalu bergantung kepada pemberian wang tunai atau subsidi semata-mata.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pendekatan itu membolehkan peruntukan kerajaan dimanfaatkan untuk membantu rakyat bekerja, membangunkan kegiatan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup secara berterusan.

Beliau berkata, pemberian peralatan seperti mesin dan kelengkapan kerja mampu memberikan manfaat lebih panjang kerana boleh digunakan untuk menjana pendapatan dalam tempoh bertahun-tahun.

“Kalau kita ada peruntukan, rakyat kita bagi kail, jangan kita bagi ikan. Kalau kita bagi subsidi, kita bagi ikan, ia mengajar rakyat ini malas,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, kaedah bantuan perlu dirangka bagi menggalakkan rakyat berdikari, berusaha sendiri dan merebut peluang meningkatkan pendapatan, bukannya terus bergantung kepada bantuan kerajaan.

Katanya, pemberian barangan seperti periuk, kuali, mesin dan peralatan kerja boleh membantu penerima memulakan atau mengembangkan kegiatan ekonomi yang berpotensi memperbaiki kehidupan mereka.

“Kalau kita bagi duit, kalau dia boleh guna seminggu, seminggu habis. Tapi kalau kita bagi periuk, kuali, kita bagi mesin, kita bagi alat, dia boleh gunakan alat ini bertahun-tahun dan mungkin dia boleh bangkit dengan baik,” katanya.

Nik Muhammad Zawawi berkata, berdasarkan penelitian terhadap Belanjawan 2027, peruntukan bagi usaha memperkasa rakyat masih belum mencukupi dan wajar diberikan perhatian lebih serius.

Bagaimanapun, beliau mengakui bantuan kewangan masih penting bagi golongan tertentu yang berdepan kekangan untuk bekerja atau menjana pendapatan sendiri.

Antara golongan berkenaan ialah ibu tunggal yang menanggung ramai anak, individu yang sakit serta orang kurang upaya (OKU).

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan meneliti semula kaedah pengagihan bantuan supaya peruntukan disalurkan berdasarkan keperluan sebenar, selain memastikan bantuan yang diberikan mampu membawa manfaat berpanjangan kepada penerima.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button