JENAYAH & MAHKAMAH

Eksploitasi kanak-kanak untuk kegiatan pelacuran, ahli Geng Yunaa didakwa esok

KUALA LUMPUR – Sembilan ahli Geng Yunaa yang dipercayai merekrut remaja tempatan, warga asing dan kanak-kanak bawah umur untuk dieksploitasi dalam kegiatan pelacuran dijadualkan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, esok.

Kumpulan jenayah terancang itu dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sejak awal 2024 sebelum ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Op Angel dari 24 hingga 26 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kumpulan yang mempunyai 10 ahli itu dikenal pasti terbabit dalam 17 kes jenayah pelacuran dan pemerdagangan kanak-kanak bagi tujuan eksploitasi seksual.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan aplikasi Telegram untuk mempromosikan perkhidmatan pelacuran serta mendapatkan pelanggan.

“Kegiatan ini dianggarkan melibatkan 20 hingga 30 individu yang ditawarkan setiap hari, manakala pelanggan dikenakan bayaran antara RM200 hingga RM350 bergantung pada pakej dan lokasi.

“Sindiket ini dipercayai memperoleh kira-kira 100 pelanggan sehari dengan kutipan RM150 bagi setiap pelanggan, sekali gus menjana pendapatan dianggarkan RM15,000 sehari atau RM450,000 sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, eksploitasi seksual kanak-kanak bawah umur boleh meninggalkan kesan trauma psikologi berpanjangan, selain menjejaskan perkembangan emosi dan sosial mangsa.

Dalam Op Angel, polis menahan tujuh suspek berusia antara 18 hingga 44 tahun.

“Dua lagi ahli kumpulan dilaporkan sedang ditahan di Penjara Kajang dan Sekolah Henry Gurney, Melaka atas kesalahan berkaitan pemerdagangan kanak-kanak dan kes pelacuran,” katanya.

Kumar berkata, polis turut merampas 14 telefon bimbit, 33 kotak kondom pelbagai jenama, enam kotak ubat pencegah kehamilan, tuala dan gel pelincir yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan.

Semakan mendapati beberapa suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau, termasuk jenayah pelacuran, pemerdagangan orang, pengedaran dadah dan penipuan.

Menurutnya, polis turut mengenal pasti seorang lagi ahli kumpulan yang masih bebas dan usaha mengesan suspek itu sedang giat dijalankan.

Beliau berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara yang bersetuju supaya ahli kumpulan berkenaan dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan berkaitan keanggotaan dalam kumpulan jenayah terancang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button