BERITA SEMASA

Fenomena El Nino dijangka menguat, cuaca panas berterusan hingga 2027

PUTRAJAYA – Fenomena El Nino dijangka berterusan sehingga pertengahan 2027 dan berpotensi menguat kepada tahap Super El Nino antara Oktober tahun ini hingga Januari 2027, sekali gus meningkatkan risiko cuaca panas serta kekurangan hujan di negara ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, keadaan itu dijangka menyebabkan taburan hujan menjadi tidak menentu dan berkurangan, selain meningkatkan suhu serta jumlah titik panas.

“Kita sekarang sedang beralih kepada musim El Nino. Dan fenomena El Nino ini akan dijangka berterusan sehingga ke pertengahan tahun 2027. Dan dia diramal akan menjadi semakin kuat sehingga dikategorikan sebagai Super El Nino,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia turut menjangkakan tahun depan berpotensi menjadi antara tahun paling panas dalam rekod, dengan anomali suhu melebihi dua darjah Celsius.

Menurutnya, pengalaman fenomena Super El Nino pada 2015 hingga 2016 menunjukkan pengurangan taburan hujan sehingga 30 peratus di Semenanjung Malaysia dan 45 peratus di Sabah.

“Apabila kita mengalami cuaca ekstrim ini, kita sudah menjangkakan bahawa taburan hujan ini akan jadi lebih tidak tentu dan berkurangan.

“Suhu akan meningkat dan bilangan titik panas juga akan meningkat secara mendadak,” katanya.

Arthur berkata, perkembangan itu boleh mencetuskan kesan berantai terhadap beberapa sektor, termasuk pertanian yang berpotensi menjejaskan keterjaminan makanan, bekalan air serta kesihatan awam.

Katanya, keadaan panas dan kekurangan hujan turut meningkatkan risiko kebakaran hutan serta tanah gambut, sekali gus berpotensi memburukkan jerebu rentas sempadan.

Beliau berkata, data berkaitan risiko cuaca berkenaan sudah dibentangkan kepada Mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana Negara pada 19 Oktober lalu bagi membolehkan penyelarasan awal antara jabatan dan agensi berkaitan dilaksanakan.

Dalam pada itu, orang ramai diminta merujuk Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) sebagai sumber rasmi bacaan kualiti udara.

Arthur berkata, sistem itu mengukur enam pencemar udara iaitu zarah PM2.5, PM10, ozon, nitrogen dioksida, sulfur dioksida dan karbon monoksida bagi memberikan gambaran tentang potensi kesan pencemaran terhadap kesihatan manusia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button