KKM, MetMalaysia bekerjasama pantau cuaca panas
Kenal pasti lokasi di mana berkemungkinan terjadinya penyakit akibat cuaca panas
SERDANG – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi mengenal pasti titik panas di mana berkemungkinan terjadinya penyakit akibat cuaca panas.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, setakat ini, sebanyak 15 kes kumulatif telah dikesan dengan satu daripadanya meninggal dunia mempunyai kaitan dengan kawasan yang suhu hariannya dicatat melebihi 35 darjah Celsius.
“Kita sentiasa memantau keadaan cuaca dan keadaan suhu, dan sentiasa berhubung dengan jabatan negeri bagi memastikan fasiliti kesihatan bersedia untuk menerima pesakit yang menunjukkan simptom strok haba dan yang berkaitan dengannya.
“Pada masa yang sama, kita turut bekerjasama dengan MetMalaysia bagi mengenal pasti titik panas (yang ada) dan daripada data berkenaan, tingkatkan pemantauan dan persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Dr. Zaliha berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di Taman Ekspo Agro Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.
Beliau kemudiannya turut mengingatkan individu yang mempunyai gejala strok haba supaya segera mendapatkan rawatan di hospital.
“Kita pantau situasi strok haba ini dengan pesakit-pesakit yang bergejala masuk ke hospital. Dari awal kita sebut gejala strok haba adalah keletihan, kekejangan dan dehidrasi.
“Panduan merawatnya juga adalah berdasarkan gejala yang dialami,” katanya lagi.
Sementara itu, kira-kira 7,000 warga KKM hadir pada majlis sambutan rumah terbuka tersebut.
Turut hadir pada majlis tersebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing; Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Radzi Abu Hassan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








