KEMENTERIAN PERTAHANAN

Malaysia hargai kerjasama Iran pastikan laluan Selat Hormuz selamat

KUALA LUMPUR – Malaysia menghargai kerjasama dan layanan baik Iran dalam memudah cara serta memastikan keselamatan laluan maritim di Selat Hormuz sepanjang tempoh konflik di negara berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Malaysia berharap keselamatan laluan maritim berkenaan terus terpelihara demi kepentingan bersama.

“Malaysia turut menghargai kerjasama dan layanan baik Iran dalam memudah cara laluan sepanjang tempoh konflik. Keselamatan laluan maritim termasuk di Selat Hormuz perlu terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbualan telefon dengan Pemangku Menteri Pertahanan dan Logistik Angkatan Tentera Republik Islam Iran, TYT Brigadier General Seyed Majid Ebn-e-Reza.

Menerusi perbualan itu, Mohamed Khaled berkata, pihaknya turut menyampaikan ucapan takziah mewakili Malaysia atas pemergian para pemimpin, anggota keselamatan dan rakyat Iran yang terkorban dalam konflik yang berlaku.

“Malaysia berharap gencatan senjata dapat dikekalkan dan penyelesaian melalui dialog serta diplomasi terus diberi ruang demi keamanan dan kestabilan rantau.

“Dalam menghadapi konflik ini, Iran telah memperlihatkan daya tahan termasuk melalui keupayaan pertahanan yang dibangunkan sendiri. Malaysia melihat ruang untuk kerjasama pertahanan yang lebih substantif, berasaskan hubungan persahabatan yang erat antara dua negara,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia berharap hubungan pertahanan dengan Iran dapat diperkukuh menerusi pemuktamadan memorandum persefahaman (MoU) kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

“Malaysia berharap MoU kerjasama pertahanan dapat dimuktamadkan sebagai instrumen rasmi untuk memperkukuh hubungan pertahanan kedua-dua negara.

“Saya turut mengalu-alukan penyertaan Iran dalam LIMA tahun hadapan sebagai platform untuk memperluas hubungan dan meneroka kerjasama pertahanan yang lebih luas,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button