BERITA SEMASA

Perolehan pesawat F-18 Hornet dari Kuwait perlu dapat kelulusan AS dahulu – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Perolehan pesawat F-18 Hornet daripada Tentera Udarat Kuwait (KAF) akan dilaksanakan jika mendapat kelulusan dari negara pengeluar, iaitu Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut Mohamed Khaled, selain kelulusan dari negara pengeluar, Malaysia turut perlu menunggu Kuwait menerima jet pejuang baharu sebelum proses serahan dapat dilakukan.

“Kuwait sudah menempah F/A-18 Super Hornet mereka pada 2018 dan masih belum menerimanya. Ini menunjukkan cabaran dalam perolehan pesawat, ia bukan sesuatu yang mudah,” katanya bagi mengulas lawatan beliau ke Kuwait baru-baru ini.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Peluncuran Inisiatif Perajurit Broadband di Wisma Kementerian Pertahanan di ibu negara hari ini.

Hadir sama, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Sementara itu, Khaled berkata, langkah mendapatkan pesawat pejuang berkenaan merupakan antara pendekatan yang diambil Kementerian Pertahanan  (MINDEF) ke arah permodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mengulas mengenai persoalan mengapa kerajaan tidak membeli pesawat baharu, Khaled menjelaskan, tempoh masa untuk mendapatkan pesawat baharu mengambil masa yang lama, iaitu sehingga 10 tahun.

Justeru itu, Khaled berkata, perolehan pesawat Hornet dari Kuwait itu akan menepati perancangan yang dibuat oleh Tentera Udara Malaysia (TUDM), selain menjadi  satu ‘stop gap’ sementara menunggu pembelian pesawat baharu.

“Kita kena faham bahawa untuk membeli sesebuah pesawat (baharu), ia akan ambil masa sehingga mungkin 10 tahun.

“Jika kita buat tempahan, katakan saya pesan pesawat itu hari ini, rundingan saja boleh mengambil masa tiga hingga empat tahun, dan pembinaan tidak akan bermula sehingga tahun 2035.

“Bila kita membeli pesawat baharu, ia tidak seperti membeli kereta, yang mana anda boleh pergi ke bilik pameran, membuat pembelian, dan terus memandu. Prosesnya jauh lebih rumit,” jelasnya.

Ditanya adakah perolehan pesawat Hornet itu berbaloi, memandangkan usia perkhidmatannya kini sudah menjangkau 30 tahun, Khaled berkata, pembelian itu masih munasabah selepas mengambil kira jam penerbangan pesawat itu.

“Sekarang ini, jam penerbangan mereka adalah sekitar 2,000 hingga 3,000 tetapi ia boleh beroperasi sehingga 6,000 hingga 7,000 jam,” katanya.

Khaled menambah, memandangkan pesawat pejuang BAE Hawk 208/108 yang berpangkalan di TUDM Labuan, Sabah, akan dinyahtauliah dalam masa terdekat, maka ada keperluan segera untuk perolehan pesawat F-18 Hornet berkenaan.

Terdahulu, ketika lawatan rasmi Khaled ke Kuwait baru-baru ini, kerajaan Malaysia dan Kuwait bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi memulakan rundingan perolehan pesawat pejuang terbabit.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button