JENAYAH & MAHKAMAH

2 warga China ditahan intip Kementerian Pertahanan

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki warga China selepas disyaki menceroboh kawasan larangan Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak di sini, pada 6 Ogos lalu.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan berkata, tindakan berani kedua suspek itu dikesan anggota polis tentera (MP) yang sedang menjalankan rondaan di kawasan kejadian.

“Siasatan mendapati suspek sedang menerbangkan dron di kawasan padang bola di Wisma Pertahanan sebelum ditahan.

“Hasil penahanan itu, anggota merampas pelbagai peralatan seperti dron serta beberapa keping kad memori.

“Pemeriksaan di hotel penginapan mereka menemukan peralatan dron,” kata kenyataan di laman sosial Facebook, hari ini.

Menurut kenyataan itu, suspek mendakwa bahawa rakaman dron itu adalah arahan oleh pihak majikan mereka.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak mengetahui motif dan tujuan tinjauan dilakukan.

“Pihak polis turut berhubung dengan beberapa agensi antarabangsa dan tempatan bagi mengenal pasti latar belakang serta rekod perjalanan kedua mereka,” katanya.

Difahamkan, kedua suspek sudah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada semalam atas pertuduhan mengikut Seksyen 3(a) dan Seksyen 4 Akta Rahsia Rasmi kerana mengintip serta melakukan dokumentasi di dalam kawasan larangan.

Kedua-duanya tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Hakim Izralizam Sanusi tidak membenarkan sebarang jamin dan menetapkan 11 September depan untuk lantikan peguam serta serahan dokumen

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button