Pelan Strategik Pertahanan Negara 2026-2030 perkukuh kesiapsiagaan pertahanan Malaysia hadapi cabaran global
KUALA LUMPUR – Malaysia memperkenalkan Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rancangan Tindakan Keupayaan Pertahanan (RTKP) sebagai dokumen utama yang akan memandu hala tuju negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan ketenteraan serta membina ekosistem pertahanan yang lebih berdaya tahan bagi tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelan berkenaan dirangka susulan perubahan landskap keselamatan global yang semakin kompleks akibat ketidaktentuan geopolitik, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta ancaman bukan ketenteraan yang semakin mencabar.
Menurut beliau, konflik bersenjata yang berlarutan di Asia Barat dan Ukraine turut memberi kesan langsung kepada kestabilan global sekali gus menuntut Malaysia memperkukuh perancangan pertahanan yang lebih responsif dan adaptif.
Hasil kajian semula penggal Kertas Putih Pertahanan, PSPN 2026-2030 diperkenalkan sebagai kesinambungan dan penambahbaikan kepada pelan strategik terdahulu dengan berpaksikan tujuh teras strategik.
“Teras tersebut merangkumi memperkasakan keupayaan dan kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pengukuhan kapasiti pertahanan yang kompeten, pelestarian kesejahteraan warga pertahanan, pemerkasaan kerjasama awam dan tentera melalui konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH), pembangunan sains, teknologi, inovasi dan industri pertahanan, pengukuhan hubungan pertahanan antarabangsa serta kesejahteraan veteran ATM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum melancarkan PSPN 2026-2030 dan RTKP dalam satu majlis di ibu negara, hari ini.
Baca juga : MINDEF sahkan perolehan sistem artileri CAESAR dari Perancis
Mohamed Khaled berkata, PSPN bukan sekadar pelan pembangunan pertahanan, sebaliknya manifestasi komitmen kerajaan untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap pengurusan pertahanan negara menerusi budaya pemantauan prestasi, akauntabiliti dan pelaksanaan yang berimpak.
Beliau berkata, bagi memastikan setiap sasaran dalam PSPN dapat dicapai, kementerian turut melancarkan RTKP yang berfungsi memperkukuh aspek kewangan, pemodenan aset, kepimpinan, kompetensi profesional, kepakaran teknologi, penyelidikan, inovasi serta penyelarasan merentasi agensi kerajaan dan ekosistem pertahanan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Malaysia akan terus berpegang kepada prinsip berkecuali dan tidak berpihak dalam mendepani persaingan kuasa besar dunia, selain memperkukuh diplomasi pertahanan melalui platform antarabangsa seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM), ADMM-Plus, Five Power Defence Arrangements (FPDA), Dialog Shangri-La dan Xiangshan Forum.
Menurutnya, pertahanan negara juga tidak lagi boleh dilihat sebagai agenda eksklusif Kementerian Pertahanan apabila pelan strategik itu dijenamakan semula sebagai Pelan Strategik Pertahanan Negara, sekali gus mencerminkan penglibatan seluruh kerajaan dan rakyat dalam usaha mempertahankan negara.
“Pertahanan bukan lagi agenda Kementerian Pertahanan sahaja tetapi sebuah agenda nasional kerana ancaman keselamatan kini datang dalam pelbagai bentuk dan sesiapa sahaja boleh menjadi sasarannya,” katanya.
Beliau berkata, kementerian akan terus memperkasakan konsep HANRUH menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat, termasuk melaksanakan program literasi pertahanan dengan kerjasama Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Pertahanan (MIDAS) serta Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, agenda pemodenan ATM akan diteruskan mengikut jadual sepanjang tempoh 2026 hingga 2030 termasuk penerimaan pelbagai aset strategik baharu.
Katanya, Malaysia telah menerima tiga unit sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) ANKA pada Mac lalu yang kini beroperasi di Pangkalan Udara Labuan, selain bakal menerima Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT-LCA), Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2.
Beliau berkata, kementerian juga memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan pertahanan masa hadapan menerusi penerapan teknologi AI, pengukuhan pertahanan siber secara bersepadu, pembangunan peperangan elektronik, penguasaan spektrum elektromagnetik dan keupayaan satelit pertahanan negara.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kesejahteraan anggota dan veteran ATM kekal menjadi keutamaan kerajaan menerusi pelbagai inisiatif termasuk pembinaan enam projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) baharu, penyelenggaraan 20,000 unit RKAT sedia ada, pembinaan dua poliklinik ATM baharu serta pelaksanaan Program Ekonomi MADANI ATM dan Program Jualan Istimewa MADANI ATM (JIMAT).
Bagi veteran ATM pula, beliau berkata, kerajaan akan terus memperluaskan peluang kerjaya melalui program Work Based Learning (WBL), pengukuhan peranan Perhebat, program reskilling dan upskilling serta Program ProWira Ready to Work Veteran bagi meningkatkan kebolehpasaran golongan berkenaan.
Mengulas cabaran masa depan, Mohamed Khaled berkata, Malaysia perlu membudayakan pemikiran strategik dalam setiap perancangan pertahanan kerana ancaman keselamatan masa hadapan semakin berkait rapat dengan perkembangan geopolitik, ekonomi, tenaga, teknologi dan rantaian bekalan global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















