BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

PERHEBAT lancar Pelan Transformasi 2026–2035: Pacu kelangsungan kerjaya kedua perwira negara

PETALING JAYA – Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) hari ini melancarkan Pelan Transformasi PERHEBAT 2026–2035 yang menjadi panduan hala tuju baharu dalam memperkasa sosioekonomi serta kesejahteraan bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pelan itu diluncurkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyifatkannya sebagai langkah strategik memperkukuh kelestarian ekonomi dan kesejahteraan hidup golongan perwira negara.

Mohamed Khaled menyaksikan penyerahan dokumen simbolik usaha sama kumpulan industri strategik dengan PERHEBAT.

Menurut beliau, pelan transformasi tersebut merupakan usaha menyeluruh Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui PERHEBAT untuk meningkatkan kemahiran, memperluas peluang pekerjaan serta menggalakkan keusahawanan berimpak tinggi dalam kalangan veteran.

“Inisiatif yang dipacu sektor swasta ini berupaya meluaskan akses dan pilihan kepada veteran untuk menceburi industri bernilai tinggi yang seiring dengan pengalaman serta kepakaran mereka.

“Maka, veteran perlu keluar daripada takuk lama dan bangkit menjadi pencipta nilai baharu dalam pembangunan ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran di ibu pejabat PERHEBAT, di sini.

Majlis turut menyaksikan penyerahan simbolik dokumen kerjasama antara PERHEBAT dan 44 agensi serta syarikat swasta termasuk penyerahan surat tawaran pekerjaan kepada veteran tentera sebagai tanda komitmen terhadap pengukuhan pasaran kerja untuk kumpulan sasar berkenaan.

Pelan Transformasi PERHEBAT 2026–2035 dirangka sebagai pelan jangka panjang selama 10 tahun yang menumpukan kepada pembangunan sosioekonomi, kelestarian kerjaya kedua dan peningkatan kualiti hidup veteran tentera.

Ia digerakkan melalui tiga fasa utama dan empat teras strategi, meliputi pembangunan kapasiti dan dasar (2026–2029), pemerkasaan industri nilai tinggi (2030–2032) serta keunggulan dan kelestarian institusi PERHEBAT (2033–2035).

Antara teras strategi yang digariskan termasuk Lonjakan Pasaran Kerjaya yang menyasarkan jalinan kerjasama dengan 200 agensi serta penyediaan lebih 3,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai industri dengan sasaran pendapatan minimum RM2,200 sebulan.

Perhebat
Mohamed Khaled menunjukkan Pelan Transformasi PERHEBAT 2026-2035.

Melalui teras Pembangunan Ekonomi Komuniti Mampan, program Hebat E-Co akan dilaksanakan bagi membantu veteran ATM menceburi sektor agrikultur, penternakan dan akuakultur dengan kerjasama universiti, agensi kerajaan serta syarikat swasta.

Selain itu, teras Pengembangan Akses dan Digitalisasi memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran digital tenaga kerja PERHEBAT dan veteran menerusi latihan upskilling serta reskilling, di samping penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pembelajaran digital.

Manakala teras terakhir, Pemerkasaan Dasar, Governan dan Profesionalisme menekankan aspek pengukuhan kewangan, pematuhan standard ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) serta pembangunan bakat yang berintegriti.

Ketua Pengarah PERHEBAT, Datuk Amir Md. Noor berkata, pelan itu adalah langkah strategik yang progresif untuk menyediakan peluang pekerjaan berkualiti kepada veteran dalam sektor High-Growth, High-Value (HGHV) seperti tenaga boleh diperbaharui, teknologi digital, elektrik dan elektronik serta pertanian moden.

“Kehadiran PERHEBAT dalam pasaran kerja bukan sahaja menjadikan institusi ini lebih dinamik dan berkesan, malah membuka lebih banyak ruang pemadanan kemahiran dan pekerjaan yang berkualiti kepada anggota yang sedang menjalani fasa peralihan,” katanya.

Tambah beliau, pelan transformasi itu akan menjadi landasan penting bagi memperkukuh kedudukan PERHEBAT sebagai institusi yang memainkan peranan utama dalam pembangunan modal insan veteran ATM seterusnya memastikan kelangsungan kerjaya kedua perwira negara di era ekonomi baharu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button