‘Belanja bilion, kapal tiada’ – PM tekankan ketelusan perolehan pertahanan
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, setiap perolehan aset pertahanan negara mesti dilaksanakan melalui kaedah kerajaan dengan kerajaan (G2G) bagi memastikan ketelusan, mengurangkan kos serta mengelak ketirisan akibat pergantungan kepada syarikat ejen.
Anwar berkata demikian selepas mendedahkan rasa terkejut selepas mengetahui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih menggunakan kapal yang dibina pada tahun 1976 meskipun berbilion ringgit telah diperuntukkan kepada Kementerian Pertahanan.
“Saya pergi ke Langkawi untuk melihat kapal-kapal ini. Betul YB Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim)… kapal 1976 pun masuk sebab kita tiada kapal.
“Bayangkan, berbelanja berbilion ringgit tetapi kapal tidak ada. Tahun 1976 itu saya masih di Kamunting. Kapal masih digunakan sebab apa? Sebab kapal tiada. Ini pengajaran untuk kita,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar turut menegaskan, soal perolehan pertahanan tidak boleh dicampur adukkan dengan pertimbangan politik atau kepentingan individu tertentu.
Beliau menjelaskan, Kementerian Pertahanan menerima peruntukan mencecah RM5 bilion pada tahun lalu, meningkat berbanding RM3 bilion pada 2020, sekali gus menuntut pengurusan yang lebih berhemah dan telus.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








